Kali kedua Parti Tindakan Demokratik(DAP) diberi peluang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, rentak dan kerja mereka semakin laju dan berada di landasan yang tepat. Jika penggal lalu, DAP diberi kepercayaan menerajui 6 kementerian, kini DAP dibawah kepimpinan Anwar Ibrahim diberi 5 kementerian.
Hampir dua tahun telah berada bersama sebagai sebuah kerajaan, momokan DAP sebagai pengancam orang melayu Islam dikatakan masih menebal dalam kalangan masyarakat. Tambah pula, pembangkang yang mula hilang arah tuju menggunakan sentimen perkauman sebagai jalan akhir bagi memastikan mereka terus disokong dan diterima.
Benarkah dakwaan orang melayu masih belum memberi kepercayaan kepada kerajaan hanya kerana DAP bersama kerajaan? Secara umumnya, dakwaan itu mungkin benar namun ia sudah mereda. Hal ini demikian kerana selain adanya UMNO sebagai parti melayu tertua di Malaysia yang bersama DAP dalam kerajaan, prestasi kerja menteri daripada DAP juga menjadi faktor masyarakat awam mula menerima DAP sebagai kerajaan.
Pelik apabila pembangkang mahu pemimpin DAP meletakkan jawatan dalam kabinet kerana kononnya mereka gagal memimpin, sedangkan jika prestasi DAP kurang memuaskan, sepatutnya pembangkang membiarkan kegagalan itu berlarutan supaya rakyat akan menyokong mereka sebagai tidak balas kononnya DAP gagal memimpin. Pembangkang akan mendapat keuntungan disitu. Namun ia terbalik, pembangkang kononya mahukan pemimpin DAP yang kompeten duduk dikerusi menteri.
Secara psikologi terbalik, desakan untuk meletakkan jawatan dan dakwaan DAP sebagai menteri adalah satu usaha bagi mengelakkan prestasi DAP yang bagus itu terus memuncak. Dalam masa yang sama, dasar DAP yang melaksanakan tugas tanpa sebarang ukuran warna kulit, keturunan dan asal dari mana berjaya diterjemahkan dalam kepimpinan kementerian DAP hendak dipadamkan dalam sejarah dengan adanya kerajaan baru.
Kejayaan beberapa menteri kabinet lalu daripada DAP seperti Loke Siew Foke, Yeo Bee Yin dan Lim Guan Eng tenggelam di peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Tebuk Atap yang diwujudkan tahun 2020. Dengan hanya 22 bulan sebagai kerajaan, banyak dasar dalam kementerian yang dibuat oleh DAP dilupakan. Sebab itu kali ini, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan dasar yang dibawa oleh Menteri DAP tidak sampai dan lekat ke hati rakyat. Jika ia berlaku, rakyat akan terbuka untuk menyokong calon-calon DAP dan sentimen ketakutan kepada DAP bakal mereda.
Bukannya tak banyak, usaha yang dilakukan oleh Loke selaku Menteri Pengangkutan banyak memberi manfaat kepada rakyat tanpa melihat rakyat itu melayu atau bukan melayu. Cukai jalan secara digital, pengawasan ujian memandu tanpa pegawai JPJ serta penambahbaikkan sistem LRT dan MRT ketika waktu puncak menjadi salah satu inisiatif yang dibawa oleh Setiausaha Agung DAP itu. Paling cemerlang apabila Loke mengemudi kementerian yang juga mengawal selia kemudahan pelabuhan dan pengangkutan udara itu menjalankan tugas dan dasarnya secara terbuka atau transparen.
Ini perkara asas bagi mengelakkan sebarang sangka buruk masyarakat yang takutkan DAP. Manipulasi fakta dengan mengatakan DAP sedang merangka pelbagai langkah untuk menerajui negara terhapus apabila perjalanan kepimpinan Loke terbuka untuk dilihat, dibahas dan dinilai. Loke yang juga merupakan pemimpin utama DAP lepasan sekolah pendidikan kebangsaan dan graduan Universiti Kebangsaan Malaysia benar-benar sesuai dan layak untuk menjadi pemain utama yang bakal melenturkan sentimen ketakutan pada DAP.
Begitu juga dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim tidak pernah lokek dengan menterjemahkan nilai kebangsaannya dalam kepimpinan. Penulis buku ‘Hang Tuah Adiwira Bangsa’ itu berjaya menterjemahkan nilai kebangsaan yang pastinya bertunjangkan bahasa melayu dalam setiap dasar dan pegangan yang dibawa dalam kementerian. Nama Kementerian Sumber Manusia yang diringkaskan kepada KESUMA atas cadangan Steven mendapat pujian daripada pakar bahasa Prof Datuk Seri Awang Sariyan.
Steven membawa kementerian yang menjaga kebajikan buruh ataupun pekerja di Malaysia dengan nilai Ihsan yang sama digagaskan oleh Perdana Menteri atas nama MADANI. Keputusan untuk memantau semua organasasi untuk meletakkan nilai gaji berada pada tahap berpatutan sentiasa ditagih oleh rakyat. Bayangkan jika isu ini tidak dibangkitkan oleh beliau, pastinya pusat asuhan yang dikelolakan oleh sebuah parti politik hanya membayar elaun guru pusat asuhan dengan nilai yang rendah sahaja.
Pantauan ini sudah tentu bukanlah sebagai serangan politik, namun jauh lebih penting adalah tekad Steven untuk mengangkat sumbangan sebarang pekerja di Malaysia ini ke tahap yang lebih baik dengan gaji yang bermaruah. Apakan lagi mahu membiarkan ura-ura ‘perhambaan’ berlaku di negara ini.
Agensi PERKESO dibawah KESEMUA juga kini terus rancak mempromosikan kebaikan mencarum dibawah mereka. Kesedaran untuk memastikan masyarakat mendapat pembelaan dan kemudahan jika ditimpa musibah atau tidak berupaya bekerja lagi satu nilai Ihsan yang harus diamati oleh mereka yang takutkan DAP. Semalam, Steven dengan kerjasama Kementerian Komunikasi melalui FINAS memberikan pra-syarat kepada syarikat produksi untuk mewajibkan semua pekerja dibawah produksi untuk membuat caruman sebelum menerima Sijil Perakuan Pengambaran(SPP).
Oleh yang demikian, perlunya pihak yang berada dibarisan komunikasi kerajaan dan jentera parti untuk menyebar luaskan semua usaha yang telah dilakukan termasuk di Kementerian Digital, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Prestasi DAP dikelima-lima kementerian ini amat membanggakan, malah 3 kementerian yang ada seperti Kementerian Pengangkutan, Sumber Manusia dan Perumahan sebelum ini sinonim dengan pemimpin MCA. Jelas ia boleh menjadi kayu ukur kewibawaan DAP kononnya lebih ditakuti berbanding MCA.