SelangorToday

ANALISIS | MAMPUKAH SHAFIE APDAL CIPTA REKOD PERSIS TUN FUAD STEPHENS?

Suhu politik Negeri Sabah semakin hangat hari demi hari. Sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan dijadikan medan parti-parti di Sabah memulakan kempen menuju Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.

Persaingan yang paling jelas berlaku antara Gabungan Rakyat Sabah(GRS) selaku pakatan antara parti pemerintah dengan Parti Warisan Sabah(WARISAN) selaku pembangkang terkuat di Dewan Undangan Negeri Sabah.

Shafie Apdal yang mempunyai jumlah kerusi terbanyak selepas PRN Sabah 2020 kempunan berada di puncak kuasa Sabah apabila GRS dan Barisan Nasional(BN) Sabah bersepakat membentuk kerajaan negeri.

Manakala Hajiji Nor selaku penyandang Ketua Menteri sedang mencatur pelbagai usaha politik demi mengekalkan kuasa setelah mereka meninggalkan PN lalu menubuhkan GRS. Seterusnya Langkah Kinabalu dijadikan sebab untuk kerajaan Hajiji menyingkirkan BN Sabah.

Meskipun di peringkat Persekutuan Hajiji dan Shafie sekapal dibawah teraju Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan, namun aksi Shafie sebagai Ketua Pembangkang di Sabah keras dan bertenaga.

Dalam sidang DUN yang berlangsung bulan Mei lalu, Shafie banyak membongkarkan masalah-masalah yang membelengu kerajaan Hajiji. Pelurunya untuk menyalahkan kerajaan tersebut yang disifatkan sebagai tidak sah apabila parti pimpinan Hajiji yang baru ditubuhkan pasca PRU ke-15 iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah(PGRS) tidak pernah menang dalam Pilhan Raya.

— fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

Hujah Shafie, seharusnya seorang Ketua Menteri yang dipilih mestilah mereka daripada parti yang menang dalam PIlihan Raya. Sebaliknya Hajiji menang dahulu sebagai ahli BERSATU Sabah, dan meninggalkannya pada tahun 2022 untuk menubuhkan PGRS seterusnya berpakat dalam Gabungan Rakyat Sabah(GRS) bersama STAR, PBS, AKAR dan lain-lain. 

Manakala Shafie yang juga Bekas Naib Presiden UMNO itu akan memainkan sentimen simpati rakyat kepadanya serta WARISAN memandangkan mereka sepatutnya masih memimpin Sabah tetapi diganggu dengan aksi lompatan ADUN Sabah pada tahun 2020 sehingga menyebabkan Shafie perlu membubarkan DUN. Jika itu tidak berlaku, pastinya Shafie telah berjaya meneruskan agenda beliau yang sedang dirancang.

Mungkin PRN kali ini akan menentukan nasib politik Shafie akan datang. Jika beliau, WARISAN dan sekutunya gagal membentuk kerajaan negeri maka mungkin Shafie perlu bersara atau menumpukan kepada politik Persekutuan semula.

Sebaliknya jika Shafie berjaya membentuk kerajaan negeri semula beliau bukan setakat berjaya mengembalikan mandat yang dirompak sebelum pembubaran DUN Sabah 2021, malah Shafie mencipta rekod sebagai penjawat jawatan Ketua Menteri Sabah sebanyak dua kali sama seperti rekod yang dicipta oleh Ketua Menteri Sabah yang pertama Tun Fuad Stephens.

Shafie bukan tidak pernah beraksi di peringkat persekutuan. Hakikatnya politik beliau menyerlah di persekutuan sebagai Menteri Luar Bandar, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Menteri Kebudayaan. Cuma apabila Gelombang Malaysia Baharu muncul, beliau diberi peranan menggempur negeri Sabah.

Maka inilah masanya rakyat Sabah membuat pilihan sama ada memberikan peluang kedua kepada Shafie untuk meneruskan agenda yang dibuat oleh beliau sebelum ini bagi membuktikan kewibawaan sebenar Shafie di Sabah atau menamatkan kerjaya politiknya di Sabah dengan cara bersara politik atau berkhidmat di peringkat pusat.

WARISAN mempunyai peluang yang setara dengan GRS dalam PRN akan datang. Hal ini kerana WARISAN merupakan parti yang berjaya menumbangkan kerajaan BN Sabah satu ketika dahulu. Meskipun dengan majoriti yang kecil membentuk kerajaan, tetapi WARISAN sebagai sebuah parti tunggal berjaya mendominasi DUN Sabah dua kali beturut-turut. 

Pilihan Raya DUN 2018, WARISAN memenangi 21 kerusi(paling banyak antara semua parti yang menang) manakala pada Pilihan Raya DUN Sabah 2020, WARISAN menang 23 kerusi. Kedua-dua keputusan tersebut memperlihatkan WARISAN merupakan parti yang kuat apabila memperoleh kerusi yang banyak atau hampir berjaya membentuk majoriti secara tunggal.

Berbanding parti lain, jumlah kerusi yang sedikit atau sama banyak antara satu sama lain menyebabkan mereka saling memerlukan untuk membuat sebarang keputusan termasuk membentuk kerajaan negeri. 

Sedangkan jika dilihat pada sejarah politik Sabah, kerajaannya akan stabil dan berjalan apabila parti utama yang memerintah mempunyai jumlah kerusi yang dominan seperti parti USNO tahun 1963,  parti BERJAYA tahun 1975 dan PBS pada tahun 1985. Mungkin ini akan menjadi dorongan kepada rakyat Sabah untuk memilih Shafie dan WARISAN dalam PRN akan datang.

Jika Shafie berjaya mengambil semula tempatnya sebagai Ketua Menteri Sabah, kerjaya politik Shafie diteruskan, rekod Tun Fuad Stephens turut dicapai oleh Shafie, juga musuh politiknya Musa Aman akan berundur. Lebih utama agenda pembangunan yang Shafie tawarkan, boleh dimulakan segera. 

Exit mobile version