Setelah selesai Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu, pemerhati politik negara kini tertumpu kepada dua negeri selatan tanah air yang dijadualkan akan berlaku pembubaran secara langsung penghujung tahun ini.
Melaka perlu membubarkan Dewan Undangan Negerinya selewat-lewat hujung tahun ini manakala Johor pada pertengahan tahun 2027. Pun begitu pertembungan pengaruh antara semua parti politik di Melaka dan Johor dilihat terus menghangat menjelang aidilfitri tahun ini.
Di Johor pertembungan antara BN melalui UMNO serta PH melalui AMANAH dilihat semakin ketara terkait dengan agihan kerusi antara mereka jika pilihan raya kali ini akan diadakan atas nama PERPADUAN. UMNO-BN yang menguasai 40 kerusi perlu duduk di meja rundingan dengan PH untuk memberikan beberapa kerusi miliknya untuk ditandingi. Jelas kaedah kerusi penyandang akan ditandingi oleh penyandang tidak memberikan kelebihan kepada PH.

Berbekalkan 13 kerusi, PH perlu sekurang-kurangnya mendapatkan beberapa kerusi lagi dari BN dan cuba menumbangkan PN dalam PRN seterusnya bagi memastikan kerajaan yang bakal dibentuk sebagai kerajaan campuran yang kedua-dua gabungan seimbang dari sudut penguasaan di DUN Johor.
Pun begitu, lebih awal lagi pemimpin akar umbi menolak cadangan PERPADUAN itu dan mengharapkan BN terus bertanding sendirian bagi mengekalkan dominasi mereka di Johor. PH pula melalui kenyataan pimpinan utama AMANAH Johor menegaskan mereka bersedia jika terpaksa bertembung dengan BN dan PN sekali lagi kali ini. Bagi mereka pertandingan ‘Free for all’ seperti yang ditegaskan oleh Pengerusi AMANAH Johor yang juga Pengerusi PH, Aminolhuda Hassan sebagai satu penyelesaian yang terbaik buat masa ini memandangkan jalan untuk BN dan PH berunding semakin sukar.
Namun begitu, apakah pertandingan tiga penjuru nanti benar-benar akan menggugat BN Johor atau ia sekadar satu percubaan remeh untuk menggugat kerajaan BN Johor? Dari satu sudut, BN dilihat tidak lagi sekuat seperti zaman kegemilangannya dahulu. Pun begitu buat masa ini prestasi BN Johor dilihat lebih cemerlang berbanding BN di Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka.
Kerusi-kerusi utama mereka diperingkat parlimen masih kukuh termasuk di Pengerang, Kota Tinggi, Pontian, Sembrong dan Ayer Hitam. Sebaliknya di negeri lain, BN gagal memenangi sebarang kerusi di Melaka, tinggal tiga kerusi di Perak dan Negeri Sembilan serta hanya lima di Pahang. Maka untuk menilai prestasi BN mengikut negeri melalui pilihan raya umum, BN Johor masih berada dihadapan berbanding prestasi BN di negeri yang BN perintah.
Faktor kedua ialah kedudukan Onn Hafiz Ghazi selaku ahli politik generasi baharu dan diluar lingkungan gergasi politik Malaysia meletakkan beliau sebagai wajah yang perlu dikekalkan sebagai Menteri Besar Johor. Ini merupakan satu kelebihan yang paling besar buat BN untuk memastikan sokongan kepada mereka kekal. Umum menyedari bahawa BN ditumbangkan oleh kisah lalunya, justeru apabila diletakkan muka baharu sebagai wajah BN disekalikan dengan keupayaannya yang dilihat berjaya mengemudi Johor telah memberikan ruang peluang yang besar untuk BN mendominasi PRN kali ini.
Bukan tidak pernah Johor memiliki MB yang muda. Mahiaddin Yassin dan Ghani Othman juga diangkat sebagai MB dalam usia yang muda. Namun kali ini Onn Hafiz dilihat sebagai wajah segar yang perlu diberi peluang sebagai penerus legasi politik negara.
Apabila dilihat kepada pesaing BN, misalnya PH, sejak pemergian Almarhum Salahuddin Ayub menemui ilahi dan berpisahnya Mahiaddin Yassin dari PH, PH mengalami kesukaran untuk meletakkan seorang sebagai wajah utama mereka di Johor. Wajah yang mungkin baru, segas dan ada kewibawaannya kepada bangsa Johor mesti menjadi syarat utama menjadi wajah utama PH. Sama ada PH mahu bertanding solo atau melalui kerjasama politik dengan BN, seorang mesti menjadi wajah utama bagi memobilisasikan sokongan kepada PH semaksima mungkin dan boleh menempatkan wajah itu sebagai pemimpin kanan kerajaan Johor nanti(jika kerajaan campuran BN-BN).
Ambilah iktibar dari kekalahan mutlak PH di Sabah apabila tiadanya sebarang penyelarasan jentera pilihan raya dan komunikasi antara ketiga-tiga parti komponen PH serta tiadanya seorang wajah utama untuk diangkat sebagai mewakili perjuangan PH di Sabah. Akibatnya PH hanya menang satu kerusi atas ihsan bekas pimpinan GRS.
Beralih kepada PN pula, mereka berada sedikit di hadapan berbanding PH memandangkan Pengerusi PN dan Presiden BERSATU berkubu di Johor. Pengaruh dan keupayaan Mahiaddin masih belum luntur dan tidak boleh dipandang mudah. Walaupun PRN Johor PN hanya memenangi 3 kerusi sahaja, tetapi pengaruh dan ledakan gelombang hijau ketika PRU15 boleh dicipta sekurang-kurangnya PN menang jumlah kerusi iyang berbaloi untuk mengekalkan prestasi mereka menuju PRU ke-16.
Tambahan lagi komitmen PAS termasuk ahli akar umbinya sangat mempengaruhi prestasi mereka kelak. Perjuangan mereka dalam pilihan raya yang diwajahkan sebagai jihad menyebabkan mereka akan berusaha bersungguh-sungguh kali ini untuk menawan sebanyak kerusi Johor yang boleh. Walaupun PRU lalu, PAS belum mampu memenangi sebarang kerusi di Johor, tetapi atas keupayaan ramainya ahli parlimen PAS dari negeri lain akan merangsang kemenangan mereka di PRN Johor pula.
Cuma kedudukan PN yang kucar-kacir akibat krisis di Perlis akan menjadi faktor penentu rentak PN di Johor. Tidak mustahil wajah utama PN akan diletakkan seorang wakil PAS memandangkan wajah PN yang diwakili oleh BERSATU iaitu bekas MB Johor, Dr Sahruddin Jamal gagal memberi limpahan kejayaan kepada PN PRN lalu termasuk menggugat maruah Mahiaddin yang berpengaruh di Johor.
Isu-isu yang tersenarai ini merupakan isu awal untuk kita melihat bagaimana pertembungan yang bakal berlaku di Johor kelak. Sehingga hari ini, masih belum ada wajah yang berupaya untuk mencabar Onn Hafiz sebagai peneraju Negeri Johor.