SelangorToday

ANALISIS | PRK 6 PARLIMEN, 2 DUN PROJEK PAS BUNGKUSKAN BERSATU?

Ura-ura Pilihan Raya Kecil bagi kesemua kerusi wakil rakyat yang dipecat daripada BERSATU bakal menjadi kenyataan apabila Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi luar jangka di DUN Nenggiri minggu lalu. Kekosongan tersebut berlaku setelah ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim dipecat daripada BERSATU setelah beliau dan enam lagi yang lain enggan menandatangani ikrar aku janji kesetiaan kepada kepimpinan BERSATU.

Pada mulanya, langkah politik ini jelas diusahakan oleh BERSATU, memandangkan kerusi-kerusi yang terlibat merupakan kerusi daripada Ahli Parlimen BERSATU. Ia turut merangkumi Parlimen Gua Musang, Jeli, Bukit Gantang, Kuala Kangsar Tanjung Karang dan Labuan serta DUN Selat Klang, Selangor. Merasa ralat dengan tindakan tersebut, segala usaha dilakukan demi memastikan kerusi yang berpindah sokongan itu dikosongkan dan diadakan semula Pilihan Raya bagi pihak Perikatan Nasional(PN) merampas semula kerusi tersebut.

PAS pula pada awal langkah ini berjalan, tidak begitu agresif dan kelihatan memerhatikan sahaja langkah ini sama ada menjadi kenyataan atau tidak. Namun setelah langkah ini berada diperingkat akhir dan bakal menjadikan PRK terlaksana, PAS mula memainkan peranannya yang halus untuk memastikan langkah tersebut tetap memberikan manfaat buat PAS.

Apabila kuasa ditangan PAS, seperti kuasa seorang Speaker untuk mengosongkan kerusi terlibat, mereka memainkan peranannya. Dengan kosongnya kerusi DUN Nenggiri sebagai kerusi pertama akan berlaku PRK, PAS akan menggunakan faktor negeri PRK diadakan dan kekuatan jentera yang mereka ada bagi memastikan kerusi tersebut akan ditandingi oleh calon PAS itu sendiri. Ini lebih mudah untuk PAS memandangkan dalam Pilihan Raya Enam Negeri Ogos tahun lalu, kesemua calon BERSATU menggunakan lambang PAS di Kelantan dan Terengganu. Watikah yang bakal diserahkan kepada calon adalah tandatangan Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS mahupun Takiyuddin Hassan selaku Setiausaha Agung PAS dan bukannya Mahyuddin Md Yassin selaku Pengerusi PN. Maka main tarik tali akan menjadikan pihak PAS mempunyai peluang yang dominan untuk bertanding di kerusi DUN Nenggiri.

Jika PAS berjaya memenangi kerusi tersebut, ini bakal merintis jalan kepada PAS untuk bertanding hampir kesemua kerusi yang bakal diadakan PRK kelak. Sudah pasti alasan di DUN Nenggiri bakal digunakan di Parlimen Jeli dan Gua Musang. Malah PAS berpotensi untuk bertanding di kerusi tradisinya di Bukit Gantang, Kuala Kangsar dan Tanjung Karang serta DUN Selat Klang, Selangor. Namun PAS bermurah hati untuk membiarkan BERSATU terkapai-kapai di kerusi Labuan memandangkan PAS akui bahawa kekuatannya di Labuan amatlah rendah.

Hakikatnya langkah BERSATU ini sebenarnya memudahkan urusan PAS untuk menguasai PN dengan lebih mencengkam serta ia akan menambahkan hujah PAS untuk meminggirkan BERSATU pada masa depan.

Kekalahan PN di Kuala Kubu Bharu akan dijadikan hujah atau alasan untuk PAS meminggirkan BERSATU sekaligus menjadi calon dalam semua PRK yang diadakan akibat akta anti-lompat parti kecuali Labuan. Kemenangan dengan majoriti lebih besar di Kuala Terengganu dan Kemaman pastinya menjadi bahan sokongan PAS untuk memastikan kehendak mereka dituruti oleh BERSATU.

PAS kini mempunyai seluruh kekuatan di dalam PN. Ia langsung tidak memerlukan BERSATU lagi memandangkan peluang mereka untuk membentuk kerajaan pusat seperti angan-angan mereka ketika mengumumkan bahawa PAS bakal membentuk kerajaan pusat dengan prestasi jumlah kerusi PAS ketika itu semakin kabur. Kehendak PAS bakal dituruti oleh BERSATU sama seperti kehendak PAS semasa di dalam Pakatan Rakyat dahulu. Bezanya dulu PAS berpisah dengan PR tanpa kekuatan kerusi dan negeri, sebaliknya hari ini jika PAS berpisah dengan PN mereka layak kerana mereka mempunyai jumlah kerusi dan memimpin negeri.

Justeru sebenarnya usaha PAS mengosongkan kerusi DUN Nenggiri melalui Speaker DUN Kelantan yang juga Naib Presiden PAS, akan menjadi jalan permulaan kepada PAS untuk melemahkan kedudukan BERSATU dalam politik. Seterusnya, dengan lemahnya prestasi rakan komponen PN itu selemah parti GERAKAN, membolehkan PAS mula bergerak dan menentukan hala tuju mereka sendiri tanpa terikat dengan PN lagi.

Lebih menyedihkan, BERSATU yang sebelum ini mendapat keuntungan yang besar dalam Pakatan Harapan apabila kesemua ahli parlimen BERSATU menjadi Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Perdana Menteri, kini mereka menjadi parti yang terpinggir dan bergantung kepada rakan sekutu untuk kekal relevan dalam politik Malaysia.

Sebab itu langkah yang diambil oleh BERSATU bukan hanya untuk memuaskan perasaan marah BERSATU kepada Ahli Parlimennya yang berpaling tadah sahaja, sebaliknya langkah itu telah memberikan ruang kepada PAS untuk melemahkan kedudukan BERSATU.

Exit mobile version