Analisis | Dari empat usul yang dibawa dalam Konvensyen AMANAH Nasional 2025, hanya satu usul ditolak oleh perwakilan, iaitu pindaan had usia sayap wanita muda WARDA daripada 35 tahun kepada 40 tahun.
Menurut pembentang usul ini, Akira Fatiha binti Mansor, usul ini dibawa secara rasmi oleh akar umbi WARDA Selangor, Terengganu, dan Perak, melalui proses yang tersusun bermula dari peringkat sayap kawasan, dibahaskan dalam Mesyuarat Kawasan, seterusnya di peringkat negeri, dan akhirnya dibawa ke WARDA Nasional.
Sepanjang proses ini, pelbagai sesi sumbang saran, perbahasan dan semakan dijalankan, termasuk tinjauan sokongan secara langsung oleh seorang pimpinan WARDA Nasional ke kawasan-kawasan terlibat. Menurut pembentang, hasil daripada proses tersebut, majoriti ahli memahami rasional usul dan menyokong keperluannya, dan usul ini diluluskan di WARDA Nasional melalui undian majoriti.

Justifikasi utama usul ini berpunca daripada realiti penyertaan wanita muda dalam politik yang lazimnya lebih lewat berbanding lelaki, menyebabkan tempoh mereka dalam WARDA terlalu singkat untuk membina kematangan politik dan organisasi. Kebanyakan wanita hanya sempat berada dalam sayap ini selama dua hingga lima tahun sebelum mencapai had usia, suatu tempoh yang tidak mencukupi untuk menguasai kemahiran kepimpinan dan memahami struktur parti.
Data terkini menunjukkan WARDA mempunyai 14,545 ahli, iaitu kira-kira 8% daripada keseluruhan ahli AMANAH, dengan majoriti berada pada fasa akhir sebelum mencapai had usia semasa. Tanpa pindaan, parti berisiko kehilangan ramai pemimpin berpotensi disebabkan faktor umur teknikal, bukan kekurangan kemampuan. Implikasi kepimpinan juga signifikan; menjelang pemilihan 2026, seramai 12 pimpinan tidak lagi layak bertanding kerana tahun lahir, dan jika pemilihan berlaku pada 2027, separuh barisan kepimpinan WARDA akan terkeluar, sekali gus menjejaskan kesinambungan organisasi dan pipeline wanita muda yang sedang matang.

Pembahas penyokong usul, Nur Zairina Muzaini menekankan bahawa isu kenaikan had usia ini bukan sesuatu yang luar biasa dalam politik. Contohnya, Puteri UMNO juga sedang memperjuangkan kenaikan had usia mereka kepada 40 tahun atas alasan serupa, iaitu memberi tempoh yang lebih panjang kepada wanita muda untuk berkembang sebagai pemimpin. Tambahan pula, Pemuda AMANAH sendiri menetapkan had usia 40 tahun, menunjukkan bahawa tuntutan WARDA bukan untuk keistimewaan, tetapi untuk kesaksamaan gender dan keadilan dalam pembangunan bakat politik wanita muda.
Rekod perkembangan WARDA selepas pindaan had umur 2019 juga menjadi bukti keberkesanan memberi ruang masa yang mencukupi kepada wanita muda; keanggotaan dan struktur organisasi berkembang pesat daripada dua negeri kepada lima negeri penuh, manakala Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan berada di peringkat penajaan. Di Selangor, kawasan WARDA bertambah daripada dua kepada lapan kawasan, dengan tiga lagi dalam penajaan. Perkembangan ini membuktikan bahawa apabila diberi masa dan ruang yang munasabah, wanita muda bukan sahaja kekal dalam parti, tetapi juga mampu membina organisasi yang lebih stabil dan kuat.
Pembahas penyokong turut menyorot kejayaan WARDA dalam lapangan masyarakat, termasuk pengurusan dua kampung oleh pimpinan WARDA, dengan salah seorang ketua kampung dipilih sebagai pengerusi terbaik. Hal ini menunjukkan WARDA melahirkan pemimpin yang dihormati oleh komuniti.

Beliau menekankan bahawa faktor fisiologi dan tanggungjawab keluarga menjadikan tempoh perkembangan politik wanita berbeza daripada lelaki; pengalaman hamil, bersalin, berpantang, dan menjaga anak kecil boleh menyebabkan wanita berehat dua hingga tiga tahun daripada aktiviti parti. Oleh itu, tempoh yang singkat dalam WARDA boleh menjejaskan kematangan politik mereka.
Usul menaikkan had usia bukanlah untuk kepentingan individu atau perebutan jawatan, tetapi bagi memastikan kesinambungan pipeline kepimpinan wanita muda, memantapkan pelapis parti, dan memperkukuh AMANAH dalam menghadapi dasawarsa kedua perjuangan parti.
Di pihak perwakilan yang menolak, hujah utama menekankan bahawa mengekalkan had usia sedia ada memberi peluang kepada kepimpinan muda untuk mengambil alih tanggungjawab dalam WARDA. Sayap wanita muda diwujudkan sebagai platform bagi melatih generasi baharu supaya dapat memimpin parti pada usia yang lebih awal, dan menaikkan had usia boleh mengekang laluan ini.

Selain itu, wanita yang mencapai usia 35 tahun seharusnya bergerak ke AWAN untuk memperkukuh peranan mereka dalam parti, memandangkan AWAN lebih sesuai untuk wanita matang yang ingin menyumbang secara signifikan kepada dasar dan gerak kerja parti. Peralihan ini seharusnya dilihat sebagai proses transisi kepimpinan semula jadi dalam parti.
Pihak penolak menegaskan bahawa fokus utama seharusnya diberikan kepada pengukuhan perkaderan wanita muda, bukan menaikkan had usia. Mereka berhujah bahawa isu sebenar ialah bagaimana parti melatih, mendidik dan membimbing wanita muda supaya menjadi pemimpin berkualiti dalam tempoh yang tersedia. Dengan struktur latihan yang lebih tersusun, pembinaan jaringan lebih luas, dan peluang pembelajaran yang mencukupi, wanita muda tidak memerlukan tempoh usia yang lebih panjang untuk berkembang. Mereka percaya bahawa pembaikan struktur dalaman lebih berkesan daripada sekadar melanjutkan had usia sayap tersebut.
Secara keseluruhan, pihak penolak berpendapat bahawa menaikkan had usia bukan penyelesaian terbaik bagi cabaran yang dihadapi WARDA. Yang lebih utama ialah memastikan WARDA kekal sebagai platform segar untuk bakat baharu, membina kesinambungan kepimpinan melalui peralihan semula jadi ke AWAN, dan menumpukan tenaga kepada pengukuhan perkaderan wanita muda agar kepimpinan berkualiti dapat dilahirkan dalam tempoh yang sedia ada.

Namun, secara realistik di lapangan, memberikan ruang kepada pelapis muda bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Kejayaan WARDA memerlukan tokoh yang benar-benar mengabdikan diri untuk mewujudkan persekitaran yang membolehkan kepimpinan muda berkembang. Usul menaikkan had usia ini merupakan satu ‘intervensi” yang boleh dilakukan untuk memperkukuhkan sayap ini.
Usul pindaan had usia yang ditolak juga menimbulkan kontroversi kerana Ketua WARDA dan beberapa Jawatankuasa Pimpinan WARDA sendiri membelakangi keputusan konvensyen sayap mereka sendiri, walaupun konvensyen WARDA pada dua hari sebelumnya meluluskan usul tersebut. Selain itu, terdapat elemen serangan peribadi daripada pembahas menolak yang menggunakan platform konvensyen, sekaligus menjejaskan kredibiliti proses perbahasan.

Tindakan ini kemudian ditegur oleh Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Tn Hj Khalid Samad, sebagai “low class” kerana menilai niat seseorang bukannya hujah.
Secara keseluruhan, kedua-dua hujah menyokong atau menentang usul mempunyai asas masing-masing. Usul pindaan had usia WARDA adalah langkah strategik jangka panjang bagi memperkukuh kepimpinan wanita muda dan memastikan kesinambungan organisasi. Namun serangan peribadi yang berlaku adalah tidak dapat diterima, jijik, dan langsung tidak boleh diakui dalam mana-mana proses perbahasan rasmi parti AMANAH.
AMANAH perlu menegakkan prinsip integriti, adab, dan profesionalisme dalam semua proses keputusan parti agar parti terus kukuh, progresif, dan memberi peluang sebenar kepada semua wanita muda untuk berkembang dan menyumbang kepada perjuangan parti dalam dasawarsa kedua.