 
                SELAYANG, 24 Ogos 2025 – Timbalan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Anfaal Saari hari ini merasmikan Konvensyen AWAN Selangor 2025 dengan menggariskan empat nilai utama yang perlu dijadikan teras dalam menggerakkan kerja lapangan anggota wanita parti itu.
Dalam ucapan perasmian di Selayang pagi tadi, Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer menekankan bahawa nilai integriti harus menjadi asas dalam perjuangan AWAN. Katanya, integriti adalah nilai utama yang dijunjung oleh Parti AMANAH Negara sebagai parti Islam progresif dan selari dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Nilai kedua yang digariskan ialah rahmah, di mana setiap dasar dan gerak kerja AWAN harus berteraskan empati serta kasih sayang dalam mendekati masyarakat. Menurut beliau, rahmah adalah kunci untuk memastikan politik yang dibawa mampu memberi manfaat menyeluruh tanpa mengira latar belakang rakyat.

Seterusnya, Anfaal yang juga Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor menegaskan nilai progresif. Beliau menyeru anggota AWAN untuk memperkayakan ilmu, pengalaman dan keterampilan agar Parti AMANAH Negara terus berkembang seiring kepesatan zaman.
Nilai terakhir ialah syura, iaitu amalan bermusyawarah yang membentuk kesepakatan dalam membuat keputusan. Jelasnya, syura bukan sahaja penting dalam organisasi parti, tetapi juga menentukan kejayaan sesuatu keputusan yang memberi kesan kepada masyarakat luas.

“Keempat-empat nilai ini—integriti, rahmah, progresif dan syura—perlu dihayati sepenuhnya oleh setiap anggota AWAN agar kerja lapangan kita lebih tersusun, berkesan dan mampu menarik sokongan rakyat kepada perjuangan AMANAH,” tegas Anfaal dalam ucapannya.
Konvensyen tersebut turut dihadiri oleh pimpinan utama AMANAH Selangor antaranya Pengerusi, Ir. Izham Hashim; Timbalan Pengerusi, Hj Azli Yusof; Naib Pengerusi, Mariam Abd Rashid ; Setiausaha Negeri, Ar. Kamarul Hisham serta Pengarah Komunikasi, Abbas Azmi.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            