SelangorToday

ANFAAL KOMITED BANGUNKAN GARIS PANDUAN BARU, SELARAS ISU PENDAFTARAN TASKA

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari komited untuk membangunkan garis panduan baharu terkait penyelarasan proses pendaftaran taska dan tadika. Beliau menyedari akan keluhan pengusaha-pengusaha taska dan tadika tentang ketidak-seragaman syarat dan kriteria untuk pendaftaran dan kelulusan agensi teknikal. Keluhan tersebut turut dirasai oleh sesetengah pengasuh di rumah.

Dengan perihal tersebut, Timbalan Ketua Wanita AMANAH Nasional itu menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam melihat perkara tersebut secara serius. Beliau menambah dengan itu, sebuah jawatankuasa Khas bagi membangunkan garis panduan baru bakal dibentuk. Jawatankuasa khas tersebut bukan sahaja memperincikan hal berkaitan kelolaan taska dan tadika, namun ia turut merangkumi syarat dan kriteria agensi teknikal yang seragam untuk digunakan pakai seluruh negeri.

Melalui satu posting yang dimuat naik beberapa hari lalu, Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri(ADN) Taman Templer berkata garis panduan yang bakal dibangunkan itu akan mengambil kira standard minima yang ditetapkan di dalam Akta dan Peraturan Berkuatkuasa. Dalam masa sama, garis panduan itu juga seiring dengan panduan sedia ada yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Anfaal sekali lagi menyatakan ikrarnya untuk menyokong perkembangan ekonomi jagaan seterusnya menyumbang kepada pembentukan ekosistem mesra keluarga di Selangor. – SelangorToday

Exit mobile version