SelangorToday

ANFAAL MAKLUM SELANGOR BERHASRAT PERLUAS PUSAT ANAK ISTIMEWA KE SELURUH PBT

Selangor berhasrat memperluas Pusat Sokongan Pendidikan Awal Anak Istimewa Selangor (Pusat ANIS) di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata usaha kerjasama yang masih diperingkat perbincangan itu bertujuan mengatasi kesesakan pelajar di pusat sedia ada.

“Pusat ANIS sedia ada mampu menempatkan sekitar 120 pelajar tetapi yang memohon untuk masuk adalah 600 orang.

“Intervensi perlukan tempat, kita tidak boleh sekadar memenuhi hasrat dan padatkan pusat sedia ada kerana ada syarat tertentu yang perlu dipatuhi,” katanya.

Ditemui selepas menyantuni pelajar Pusat Prasekolah ANIS di Seksyen 7 di sini, Anfaal memberitahu pihaknya juga berhasrat memperkenal pusat intervensi bergerak bagi memudahkan akses kepada bantuan ANIS.

“Tahun ini kami rancang untuk wujudkan pusat intervensi bergerak supaya program ini dapat diakses oleh mereka yang berada di pinggir bandar dan kami akan melihat peruntukan sedia ada untuk memulakan rancangan ini,” katanya.

Pusat ANIS merupakan bantuan disediakan Kerajaan Negeri bagi memastikan murid-murid bekeperluan khas mendapat peluang dan kemudahan pendidikan.

November tahun lalu, Belanjawan 2025 memperuntukkan RM2.3 juta bagi meneruskan Iltizam Anak Istimewa Selangor (ANIS). -SelangorKini

Exit mobile version