SelangorToday

ANFAAL SAARI TEMPELAK PIMPINAN UMNO MAHU ADAKAN PRU MUSIM BANJIR

Naib Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Anfaal Saari melalui sebuah kenyataannya semalam menempelak pimpinan UMNO yang bersedia mahupun memaksa Pilihan Raya Umum diadakan ketika waktu banjir. Anfaal berkata, tidak begitu sesuai jika PRU diadakan pada musim banjir sedangkan banyak agensi kerajaan terpaksa dikerahkan untuk membantu mangsa banjir dalam masa yang sama terpaksa membuat persediaan bagi proses pembuangan undi jika PRU diadakan. Meskipun semua parti sedang bertungkus-lumus untuk menggerakkan jentera kearah PRU, namun usaha untuk membantu mangsa-mangsa banjir juga harus diberikan keutamaan.

Anfaal Saari antara pimpinan AWAN yang sentiasa cakna kepada perkembangan semasa seperti isu kos sara hidup, anak muda dan perubahan iklim

Selain itu, dalam kenyataan yang sama, Anfaal yang juga Ketua AWAN Gombak mahu kerajaan bersedia dengan polisi atau dasar yang benar-benar mengutamakan kebajikan rakyat. Gelombang banjir yang berlaku pada tahun 2021 telah menyebabkan 55 nyawa terkorban manakala kos kerugian yang ditanggung mencecah RM 6.1 Billion, angka yang membimbangkan itu harus ditangani segera oleh pihak kerajaan memandangkan teori atau khabar-khabar bahawa banjir besar akan berlaku bukan sekadar berita, namun mungkin akan menjadi kenyataan. Justeru, Anfaal mahu setiap sudat pembuatan dasar rakyat mestilah menjurus kearah persediaan menghadapi bencana banjir.

Dalam masa yang sama, Anfaal menyokong resolusi yang diputuskan dalam Permukiman Pimpinan HARAPAN minggu lalu yang mahu semua negeri dibawah HARAPAN mengisytiharkan ‘kecemasan iklim’ sebagai langkah awal menghadapinya kelak. Beliau yang juga Ahli Majlis dibawah Majlis Perbandaran Ampang Jaya menambah, resolusi yang diputuskan itu seiring dengan gagasan Rahmatan lil ‘Alamin yang diperjuangkan oleh AMANAH. AMANAH menzahirkan komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memelihara kebajikan rakyat. – Selangor Today

Exit mobile version