Isu kesesakan lalu lintas antara fokus Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer sekiranya diberi mandat menjadi wakil rakyat di kawasan itu.
Anfaal Saari berkata kesesakan membabitkan jarak lapan kilometer bermula dari Caltex Selayang Pandang sehingga ke Rawang Bypass dari 6.30 hingga 9.30 pagi dan dari 3.30 petang hingga 7 malam pada hari bekerja.
“Kebanyakan penduduk tinggal di sini namun bekerja di Kuala Lumpur. Kita lihat isu ini mengganggu dari segi kesejahteraan hidup.
“Ini berikutan mereka perlu bangun awal pagi malah mengalami tekanan berikutan terpaksa menempuh kesesakan ketika pergi dan pulang kerja,” katanya ketika ditemui pada program walkabout di Kampung Melayu Batu 16 Tambahan Rawang di sini.
Mengulas lanjut Anfaal berkata pihaknya komited meneruskan usaha yang dimulakan Ahli Parlimen Selayang William Leong dan wakil rakyat Taman Templer sebelum ini, Mohd Sany Hamzan dalam menyelesaikan gangguan trafik yang menghantui penduduk sejak sekian lama.
Anfaal berdepan calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Aida Rahman serta Zaidy Abdul Talib dari Perikatan Nasional. Hari mengundi pilihan raya negeri ditetapkan 12 Ogos ini.