 
                PUTRAJAYA, 21 Ogos – Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkasakan peranan wanita agar mereka lebih berdaya saing dalam kepimpinan, ekonomi dan masyarakat.
Bercakap ketika merasmikan Karnival Pemerkasaan Wanita 2025, Anfaal menekankan bahawa jurang gender yang masih besar di Malaysia perlu ditangani segera, khususnya dalam aspek penyertaan politik dan ekonomi.
“Masih kurang daripada 20 peratus wakil rakyat di peringkat negeri dan persekutuan adalah wanita, manakala pemilik perusahaan kecil dan sederhana wanita hanya sekitar 20.1 peratus. Situasi ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkasa lebih ramai pemimpin wanita,” katanya.

Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Akademi Kepimpinan Wanita, Sidang Wanita Selangor, Career Comeback Programme serta Usahanita Digital. Selain itu, bengkel pengarusperdanaan gender turut diperkenalkan bagi memastikan pembuat keputusan mengambil kira keperluan kedua-dua gender.
Anfaal turut menekankan bahawa perjuangan memperkasa wanita memberi manfaat kepada seluruh masyarakat. Katanya, dasar seperti cuti paterniti yang lebih panjang mampu mengurangkan diskriminasi terhadap wanita bekerja, selain menggalakkan perkongsian tanggungjawab dalam keluarga.

“Wanita merangkumi hampir 50 peratus populasi negara. Jika keperluan mereka tidak dipenuhi, kita tidak akan mampu membina masyarakat yang sejahtera,” ujarnya.
Beliau menyeru agar seluruh masyarakat berganding bahu menjayakan agenda pemerkasaan wanita bagi mewujudkan sebuah masyarakat inklusif, adil dan seimbang.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            