SelangorToday

ANFAAL UMUM SELANGOR GARIS LIMA ELEMEN RANGKA EKONOMI PENJAGAAN

Selangor akan menggariskan lima elemen penting dalam mewujudkan kerangka atau dasar berkaitan sektor ekonomi penjagaan melibatkan kanak-kanak, wanita dan warga emas di negeri berkenaan.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata lima elemen yang akan dimasukkan dalam kerangka yang dijangka diluncurkan pada suku kedua 2024 itu adalah advokasi dan promosi, tatakelola dan kawal selia, tenaga kerja dan penjaga terlatih, pelaburan dan kerjasama serta inovasi dan teknologi.

“Advokasi dan promosi untuk mengenal pasti kepentingan, keadaan semasa ekonomi penjagaan, sekiranya kita boleh selaraskan (inisiatif), maka di situ ada peluang ekonomi. Teras kedua tentang tatakelola dan kawal selia, kerajaan negeri berhasrat untuk memenuhi keperluan ibu bapa seperti taska.

“Ketiga, tenaga kerja dan penjaga terlatih (iaitu) memastikan tenaga kerja dan penjaga terlatih mendapatkan latihan yang berstruktur, keempat (pelaburan dan kerjasama) iaitu kerajaan memainkan peranan untuk memberi rangsangan kepada syarikat contohnya dalam pengumpulan data,” katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk ‘Memartabat Ekonomi Penjagaan’ terbitan Bernama TV, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara itu berkata teras kelima memfokuskan mengenai penggunaan teknologi yang harus mengambil kira cara masyarakat dapat meningkatkan kecekapan dan memberikan akses kepada kumpulan sasaran yang dikehendaki.

Sektor penjagaan ditakrifkan sebagai aktiviti dan hubungan yang terlibat dalam memenuhi keperluan fizikal, psikologi dan emosi orang dewasa dan kanak-kanak, tua dan muda, lemah dan yang sihat.

Hampir keseluruhan aspek penjagaan bukan sahaja dibebankan atas bahu golongan ibu atau wanita, malah sebahagian besar peranan penting yang membolehkan ekonomi berfungsi bersifat informal yang tidak melibatkan bayaran.

Anfaal menjelaskan kerangka tersebut mampu menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit bagi golongan wanita dalam sektor kerja penjagaan kerana ia dilihat menerusi hubungannya dengan pasaran, upah kerja, ciri kerja yang dilakukan dan sasaran penerima penjagaan dalam sektor itu, yang dilatari dua isu utama iaitu kerja penjagaan tidak berbayar dan kerja penjagaan kurang upah.

Selain itu, beliau juga memaklumkan statistik wanita di luar tenaga buruh ialah 69.6 peratus dan antara faktor utama yang menyumbang senario berkenaan ialah disebabkan kerja rumah atau tanggungjawab kepada keluarga.

Merujuk kajian yang dijalankan oleh Khazanah Research Institute (KRI), beliau berkata sekiranya terdapat peningkatan 30 peratus dalam Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (LFPR) golongan wanita, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk Selangor turut akan meningkat daripada 25 peratus kepada 27 hingga 30 peratus.

Kajian Merdeka Centre dan The Asia Foundation di Selangor pada 2020 hingga 2022 juga menunjukkan wanita bekerja menghadapi cabaran kos penjagaan anak yang tinggi dan menghadapi cabaran masa bekerja tidak fleksibel yang memerlukan taska di tempat kerja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 pada September lepas memberi perhatian khusus terhadap ekonomi penjagaan sekali gus dilihat sebagai solusi mampan bagi mendepani status negara tua selain sebagai strategi melonjakkan partisipasi wanita dalam pasaran buruh.

— BERNAMA

Exit mobile version