SelangorToday

ANFAAL UMUM SELANGOR SEDIA DANA RM85,000 UNTUK PERSATUAN IBU TUNGGAL

Kerajaan Negeri memberi peruntukan RM85,000 kepada 17 persatuan ibu tunggal bagi menyokong program usahawan dan peningkatan kemahiran golongan itu.

Exco Pembangunan Wanita Selangor, Anfaal Saari berharap geran di bawah program Mekar Kasih itu antara usaha pentadbiran negeri untuk pemberdayaan golongan berkenaan.

“Kerajaan Negeri melalui Wanita Berdaya Selangor (WBS) sentiasa melaksanakan program untuk meningkatkan taraf hidup ibu tunggal. Justeri, kita bersetuju memberi geran RM5,000 kepada setiap 17 pertubuhan ibu tunggal.

“Kita berharap menerusi geran ini sedikit sebanyak dapat memberi peluang pendidikan dan latihan keusahawanan kepada ibu tunggal yang berminat untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga,” katanya.

Beliau yang juga Timbalab Ketua Angkatan Wanita AMANAH berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Hi-Tea Jalinan Kasih dan Bicara Santai di Hotel Mardhiyyah di sini.

Majlis julung kali dianjurkan itu dikunjungi kira-kira 200 tetamu dalam kalangan ibu tunggal, wakil Pusat Wanita Berdaya (PWB) dari setiap Dewan Undangan Negeri, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Majlis itu bertujuan mewujudkan pertemuan dua hala bagi membincangkan isu berkaitan hak wanita, kesaksamaan gender, dan pembangunan sosio-ekonomi wanita di Selangor khasnya dan Malaysia amnya.

Selain itu, pertemuan itu juga membuka ruang dan peluang untuk mendengar pandangan dan cadangan daripada EXCO pembangunan wanita sendiri berhubung dasar dan program berkaitan pembangunan kaum hawa. – SelangorKini

Exit mobile version