 
                SHAH ALAM, 11 Ogos — Penubuhan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) bakal melonjak agenda kebajikan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini melalui peluasan peluang penajaan dan sumbangan, kata Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, YB Anfaal Saari.

Beliau berkata, inisiatif ini membolehkan bantuan disalurkan secara lebih menyeluruh, merangkumi bukan sahaja intervensi untuk kanak-kanak istimewa seperti autism dan ADHD, malah meliputi OKU fizikal melalui penyediaan peralatan, latihan, dan sokongan hidup berdikari.
“Peluang penajaan dan sumbangan dapat diperluas, program sedia ada dapat diteruskan, malah bantuan dapat meliputi golongan yang memerlukan peralatan, latihan dan sokongan hidup berdikari,” katanya pada majlis pelancaran YANIS yang disempurnakan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Menurut YB Anfaal, proses permohonan bantuan khas yang dilaksanakan sejak 2020 akan diteruskan setiap tahun pada bulan Mac, dengan dana baharu dijangka meningkatkan jumlah penerima manfaat.

YANIS, anak syarikat Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), akan menjadi agensi pelaksana utama dalam memperkukuh pembangunan OKU secara holistik, memperluas aksesibiliti inklusif, menggalakkan kerjasama komuniti, dan menjadi perintis amalan terbaik pengurusan intervensi.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            