
[Analisis]Dalam kerancakan Kerajaan MADANI menjalankan tugas dan fungsinya sebagai kerajaan persekutuan yang bertindak memulihkan keadaan negara yang membarah, bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad menggagaskan Payung Besar sebagai platform untuk orang melayu bersatu.
Disaat kerajaan sedang berusaha memperkayakan pendapatan golongan petani dan nelayan melalui dasar Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan yang lebih progresif serta berimpak, malah kerajaan sedang mempelbagaikan inisiatif kepada orang melayu untuk keluar daripada kelompok miskin tegar melalui Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah, Tun menyeru orang melayu bersatu dan bangkit memperjuangkan nasib melayu.

Bukanlah isu melayu ini baru dilontarkan oleh bekas Presiden UMNO itu hari ini, sebaliknya ia kerap kali dibangkitkan disaat Tun tidak berkuasa lagi dan bertambah rancak disaat bekas anak emasnya, Anwar Ibrahim mengemudi kerajaan. Perihal tentang dimana nasib melayu yang sedang terpinggir serta mengapa hari ini baru diseru untuk bersatu atas nama melayu tidak perlu dibincangkan lagi apabila ramai penganalisis serta pemain politik sudah pun menjawabnya. Namun penulisan ini ingin melorongkan masyarakat kepada apakah pendirian atau bagaimana cara sebuah parti Islam tunggal dalam kerajaan MADANI menyantuni isu kesatuan melayu ini.
Meskipun baru berusia hampir 10 tahun, Parti AMANAH Negara bukanlah kelompok mentah dalam politik Malaysia. Pengalaman pimpinan parti menjiwai, mencurahkan bakti serta mengemudi PAS sebelum menubuhkan AMANAH merupakan universiti politik buat mereka memasak perjuangan Islam dalam rencam dan budaya Malaysia. Lebih bermakna dan menyakinkan lagi, AMANAH telah dan sedang menjadi pentadbir kerajaan persekutuan. Justeru ruang yang AMANAH lalui ini wajar dilihat suara parti progresif Islam yang matang dan terangkum kepada Malaysia.

AMANAH menggagaskan ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’ yang memayungi tekad utama AMANAH dalam berpolitik serta berpentadbiran. Sebagai Timbalan Presiden AMANAH serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama), pandangan serta pendirian Dr Mujahid Yusof boleh dianggap sebagai pendirian AMANAH berpayungkan ‘Islam Rahmatan Lil Alamin’.
Salah satu aspek penting yang sering disentuh oleh Dr. Mujahid ialah persoalan kesatuan Melayu. Namun, beliau menolak bentuk kesatuan yang semata-mata berasaskan bangsa atau fanatik perkauman. Bagi beliau, kesatuan Melayu yang sejati mestilah dibina di atas nilai keadilan, integriti, dan kemuliaan akhlak Islam. Ini bersesuaian dengan asas ajaran Islam yang menolak asabiyyah (fanatisme kaum) dan menyeru kepada perpaduan ummah dalam kerangka nilai, bukan kaum.

Pandangan Dr. Mujahid selaras dengan maksud ayat al-Qur’an dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107:
“Dan tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.”
Islam dalam kerangka Rahmatan lil ‘Alamin bukan untuk segolongan sahaja, sebaliknya untuk membawa keadilan, belas ihsan, dan keamanan kepada semua manusia — tanpa mengira kaum atau agama. Justeru, bagi Dr. Mujahid, orang Melayu yang mahu menjadi pembawa panji Islam harus terlebih dahulu memahami bahawa agama ini bersifat sejagat dan bukan milik eksklusif etnik Melayu.
Dalam beberapa kenyataannya, Dr. Mujahid mengkritik pemimpin Melayu yang menunggang agama dan perkauman untuk kepentingan politik. Beliau melihat tindakan ini bukan sahaja merosakkan kesatuan masyarakat Melayu, malah menimbulkan kebencian dan perpecahan antara kaum. Lebih membimbangkan, ia menjadikan Melayu sebagai bangsa yang tertutup dan terperangkap dalam naratif ketakutan. Ini jelas bertentangan dengan semangat Islam Rahmatan lil ‘Alamin yang mengajak kepada keterbukaan, dialog, dan keadilan sejagat.

Pun begitu, kritikan beliau terhadap penggunaan agama dan bangsa untuk melindungi kezaliman sebenarnya mewarisi pandangan tokoh besar gerakan Islam di Malaysia, iaitu ayahandanya sendiri — Tuan Guru Haji Yusof Rawa. Dalam kenyataan beliau pada tahun 1984, sebagai Presiden dan Mursyidul Am PAS ketika itu, Haji Yusof berkata:
“Kecenderungan menolong orang-orang Melayu dari kalangan pemimpin yang berbangsa Melayu, tidak seharusnya melampaui batas-batas kebenaran dan keadilan. Kecenderungan itu tidak seharusnya dilayani sehingga membenarkan kezaliman pembaziran, perlindungan ke atas penjenayah dan rasuah. Begitu juga pembaziran, kezaliman, rasuah dan penyelewengan tidak seharusnya dibiarkan menjadi rintangan dalam usaha-usaha untuk memperbaiki kehidupan orang-orang Melayu….sekiranya kecenderungan itu terkeluar dari batas-batas keadilan, ia akan membentuk assabiyah yang dilarang oleh Rasulullah……”
Pandangan Tuan Guru ini menjadi asas moral kepada perjuangan Dr. Mujahid — bahawa membantu Melayu bukan bermakna menyokong Melayu secara membuta tuli, tetapi memperjuangkan nilai dan akhlak yang membela bangsa melalui keadilan. Justeru, sebarang bentuk “kesatuan Melayu” yang membenarkan rasuah, kezaliman dan penyelewengan bukan sahaja menyalahi semangat Islam, tetapi menjadikan bangsa sendiri mangsa kepada keruntuhan moral dan sosial.

Kesatuan Melayu yang diperjuangkan oleh Dr. Mujahid bukan untuk memisahkan Melayu daripada kaum lain, sebaliknya sebagai asas pembentukan perpaduan nasional yang kukuh. Dalam kerangka Islam Rahmatan lil ‘Alamin, kesatuan tidak menuntut homogeniti kaum, tetapi pengiktirafan terhadap perbezaan sebagai rahmat. Ini sejajar dengan Surah Al-Hujurat ayat 13 yang menyatakan bahawa manusia diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar mereka saling mengenal, bukan saling membenci.
Perjuangan beliau juga bersifat institusional — memperkukuh pentadbiran Islam, dasar awam dan dialog antara agama yang menyuburkan kefahaman antara masyarakat. Islam, dalam pendekatan Rahmatan lil ‘Alamin, perlu membina institusi yang adil, inklusif, dan berorientasi kepada kesejahteraan semua lapisan masyarakat. Dr. Mujahid memberi contoh melalui pelbagai inisiatif semasa beliau di kerajaan, termasuk penggubalan Dasar Wasatiyyah dan Pelan Transformasi Hal Ehwal Islam.

Apa yang dapat dilihat, Dr Mujahid selaku pimpinan nombor 2 AMANAH tidak menolak bulat-bulat akan konsep melayu yang wujud zaman berzaman di Malaysia. Namun yang lebih utama adalah anutan konsep melayu tersebut mestilah bermatlamatkan asas yang baik serta bukan untuk merobohkan kesepaduan negara yang sudah terbina kukuh.
Lebih ringkas, berada dibawah payung Islam Rahmatan Lil Alamin konsep yang disaran Islam serta diperjuangkan oleh AMANAH jauh lebih sesuai, realistik dan berimpak untuk dihayati dan dilaksanakan oleh kelompok melayu Islam. Martabat melayu Islam juga mampu dipertingkatkan, Maqasid Syariah juga mampu dilaksana serta kesepaduan rakyat Malaysia sebagai model negara Islam yang unik akan terus dipertahankan.
Cikgu Syazmir HN