Hari ini Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah mengumumkan tekad dan halatuju negara yang sedang beliau bawa sejak memimpin Malaysia dari tahun 2022. Seiring dengan pengumuman halatuju negara yang sedang pesat direform, Anwar mengumumkan beberapa berita baik yang memberi impak kepada kos sara hidup rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan itu mengumumkan sempena Hari Kebangsaan tahun 2025, rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun keatas menerima pemberian wang RM100 melalui Mykad masing-masing. Ia tidak terkecuali kepada sesiapa termasuk ahli PAS mahupun penyokong kuat BERSATU.

Selain itu, Anwar juga membuat pengumuman yang mengujakan apabila sering diperlekehkan akan janjinya semasa memimpin Pakatan Rakyat satu ketika dahulu terkait penurunan harga minyak. Beliau memaklumkan bahawa kadar harga minyak Ron95 diturunkan menjadi RM1.99 seliter berbanding sebelum ini RM2.05. Pengumuman itu sekaligus menutup mula mereka yang sering memanupulasikan janji Anwar itu sedangkan janji tersebut dibuat semasa kempen PRU 2008 & 2013 bukannya pada PRU 2022.
Anwar yang juga mengumumkan kenaikan kadar tol bagi lebuhraya tumpuan awam bagi tahun ini ditangguhkan merangkumi sejumlah kos yang ditanggung oleh kerajaan lebih RM500 juta. Peruntukan bagi Jualan Rahmah MADANI digandakan menjadi RM600 juta bagi memastikan pelbagai barang keperluan dan kekerapan pelaksanaannya disediakan. Ia seiring dengan tekad kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat akibat tekanan ekonomi global dan ketidaktentuan politik dunia. Pengumuman itu pula secara kebetulan tepat pada tarikh yang sama 2 tahun lalu, perginya menemui ilahi bekas menteri yang memperkenalkan Payung Rahmah sebagai skim meringankan beban rakyat iaitu Almarhum Salahuddin Ayub(Al-Fatihah).
Beberapa pengumuman lain yang telah dibuat oleh Anwar seperti tambahan cuti am sempena Hari Malaysia pada 15 September dan 85 peratus rakyat terbawah menikmati penurunan bil elektrik mulai bulan ini bukan sekadar pengumuman biasa. Sebaliknya pengumuman yang telah digembar-gemburkan sejak minggu lalu menjadi petunjuk kepada kepimpinan Anwar dan kerajaan perpaduan yang berjaya membawa Malaysia kembali kepada landasan asal untuk terus membangun.
Dalam kerancakan ekonomi berjalan, kerajaan turut menaikkan kadar cukai bagi barang-barang mewah dan bukan asas. Ia sebagai salah satu usaha kerajaan MADANI bagi mengukuhkan kedudukan fiskal negara yang sering tempang sejak penghujung 90an. Bagaimana pun, hasil kerajaan yang diperoleh telah diagihkan semula kepada rakyat untuk dinikmati bersama. Golongan yang berpendapatan tinggi akan menyumbang kepada hasil negara, manakala golongan berpendapatan rendah pula akan dibantu melalui sumbangaan yang dikutip kerajaan. Justeru strategi ini telah merapatkan jurang antara kelompok kaya dan miskin.
Anwar bersama pasukannya yang dianggotai oleh Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gagasan Rakyat Sabah, Parti Warisan Sabah dan PH itu sendiri telah berjaya membawa Malaysia duduk semula dalam kerangka yang sepatutnya Malaysia ada sejak 90an dahulu. Akibat permainan politik, ekonomi negara gagal ditangani secara tuntas, manakala perlumbaan kuasa merencat pembangunan negara melalui kemunculan bakat baru serta idea yang lebih radikal.Akibatnya Malaysia terkebelakang berpuluh tahun berbanding Singapura, Thailand dan Indonesia. Kini Anwar mendapat peluang keemasan sambil diapit dengan sokongan yang jitu dari parti-parti politik untuk melunaskan tekad politik ke arah pemulihan semula Malaysia.
Seorang propagandis bekas Perdana Menteri menyatakan bahawa pengumuman Anwar itu menunjukkan ‘Cash Is King’ seperti yang diamalkan oleh bekas Perdana Menteri satu ketika dahulu. Namun pengumuman ini jelas berbeza dengan keadaan ketika Perdana Menteri yang dirujuk ‘Cash Is King’ itu. Hal ini demikian kerana, keadaan ekonomi Malaysia hari ini menujukkan peningkatan yang ketara berbanding terkanan ekonomi yang sedang dihadapi ketika itu. Hutang negara semakin lama dikecilkan melalui pengurangan ciptaan hutang baru. Jumlah pelaburan asing yang berjaya dibawa masuk ke Malaysia mencapai tahap tertinggi sejak 2016. Ini jauh meleset dari keadaan ketika budaya ‘Cash Is King’ sebagai modal politik diamalkan di Malaysia dimana hutang semakin membengkak manakala pelaburan asing semakin berkurang akibat ketidakpercayaan pelabur luar kepada kepimpinan negara.
Ahli Parlimen dari PAS pula yang sebelum ini galak beraksi sebagai propagandis yang celaru memanipulasi fakta memperlehkan nilai bantuan RM100 yang Anwar umumkan dan mendawa ia sebagai helah untuk melunturkan momentum himpunan ‘Turun Anwar’ yang dirancang. Mungkin bagi golongan mewah seperti pimpinan PAS, RM100 hanyalah nilai yang kecil. Sebaliknya bagi rakyat marhaen, nilai itu mempunyai kesan yang baik dalam meringankan beban rakyat apabila ia ditambah lagi dengan bantuan STR dan SARA yang bakal diterima pertengahan ogos ini serta bantuan bulanan yang kerajaan MADANI telah mula kreditkan sejak April tahun ini. Rakyat hargai bantuan itu, tetapi bingung akan sikap pemimpin PAS yang kelihatan angkuh soal bantuan itu sekaligus menunjukkan PAS jauh menyimpang dari sikap Islam.
Oleh itu, pengumuman hari ini bukan sekadar pengumuman biasa yang mampu meringankan beban rakyat, sebaliknya ia membuktikan bahawa kepimpinan Anwar dan kerajaan MADANI telah berjaya membawa Malaysia kembali kepada landasan yang betul untuk Malaysia membangun. Pastinya Malaysia yang sedang dibangunkan ditambah nilai melalui pengukuhan masyarakat Malaysia yang lebih bertamadun.
Cikgu Syazmir HN