Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil mempersoalkan tindakan kerajaan melakukan penjualan aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta, MySJ Sdn. Bhd. seperti dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini. Kata Anwar, kerajaan seharusnya mengambil kira cadangan PAC yang mengesyorkan pengambilalihan operasi MySejahtera tanpa kos tambahan memandangkan aplikasi tersebut kini telah menjadi elemen penting dalam sistem kesihatan negara.
Presiden KEADILAN itu turut mempersoalkan keterangan pegawai Kementerian Kesihatan yang menafikan hubungan antara MySJ dan KPISoft (kini dikenali sebagai Entomo) iaitu syarikat yang membangunkan aplikasi MySejahtera sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menyifatkan, penyerahan operasi aplikasi MySejahtera tidak dibuat secara tender terbuka sebaliknya dibuat menerusi rundingan terus. Tambahan pula katanya, penjualan MySejahtera kepada syarikat swasta hanya menimbulkan kebimbangan tentang pengurusan data peribadi dan kemungkinan wujudnya penyalahgunaan maklumat kesihatan jutaan rakyat Malaysia.