 
                Dalam sesi Dialog Eksklusif anjuran Portal MalaysiaGazette yang berlangsung Rabu lalu, Ketua Pemuda Parti AMANAH Negara, Senator Hasbie Muda menjelaskan secara terbuka mengenai kerangka dan ideologi ekonomi yang didukung oleh partinya. Jawapan beliau hadir sebagai respon kepada pertanyaan awam berhubung pendirian ekonomi AMANAH dalam landskap ekonomi negara yang semakin mencabar.

Menurut Hasbie, Parti AMANAH Negara tidak menjunjung sepenuhnya konsep pasaran bebas (free market) tetapi lebih cenderung kepada pendekatan ekonomi campuran yang digerakkan oleh pasaran (market-driven), namun masih memerlukan campur tangan aktif kerajaan (government intervention), terutamanya dalam situasi yang memerlukan keadilan sosial dan kestabilan pasaran.
“Kita bukan sepenuhnya pasaran bebas kerana ada campur tangan kerajaan. Kalau ditanya apa ideologi, sudah tentu ia adalah sistem ekonomi yang sedang diamalkan oleh negara – market driven tetapi intervention by the government itu memang mandatory,” ujar beliau.
Hasbie turut memberi contoh intervensi melalui dasar fiskal dan monetari, termasuk peranan kerajaan dalam memberi panduan kepada Jawatankuasa Dasar Monetari untuk memastikan kadar Dasar Semalaman (OPR) tidak menjejaskan kadar inflasi secara drastik. Meskipun secara teknikal kerajaan tidak mencampuri keputusan dasar monetari, namun pandangan pimpinan tetap mempengaruhi hala tuju dasar untuk melindungi kepentingan rakyat.
Menariknya, Hasbie menekankan bahawa ideologi ekonomi AMANAH tidak hanya terhenti pada model ekonomi konvensional. Parti itu juga menerapkan prinsip ekonomi Islam dan nilai compassion dalam dasar-dasarnya.

Beliau memetik contoh Program Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh Almarhum Datuk Seri Salahuddin Ayub sebagai manifestasi prinsip ekonomi berasaskan nilai murni Islam.
“Kita boleh buat satu dasar tanpa bajet daripada kerajaan, tetapi peniaga sendiri boleh menyumbang satu portion daripada perniagaan mereka untuk membantu rakyat. Harga Menu Rahmah RM4.90 atau RM5 – ini ialah satu unsur daripada prinsip compassion, daripada al-Quran, daripada Islam,” katanya.
Hasbie menegaskan bahawa AMANAH berjuang untuk menyeimbangkan antara keperluan merangsang ekonomi dan mengawal kerakusan kapitalisme, dengan prinsip keadilan, rahmah dan ihsan sebagai tonggak utama dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Dengan pendekatan ini, jelas bahawa Parti AMANAH Negara memperjuangkan model ekonomi yang beretika, berprinsip, dan berorientasikan rakyat, berpaksikan kepada kerangka Islam yang inklusif serta berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            