
WACANA MINDA – KEPERLUAN MENGEHADKAN TEMPOH PERDANA MENTERI KEPADA DUA PENGGAL
Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri Malaysia kepada dua penggal kembali menjadi topik perbincangan. Namun, terdapat kekeliruan mengenai asal-usul idea ini. Hakikatnya, cadangan ini bukan berasal daripada DAP walaupun ia dibangkitkan dalam kongress DAP ke 18 hari ini, tetapi merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018. Ia merupakan sebahagian daripada usaha reformasi institusi yang dibawa oleh PH untuk memastikan tadbir urus negara yang lebih telus dan bertanggungjawab.
Usaha ke arah merealisasikan cadangan ini telah berjalan ketika pentadbiran 22 bulan Pakatan Harapan namun tertangguh setelah berlakunya langkah Sharaton. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini menunjukkan komitment beliau untuk meneruskan usaha ini.

Had dua penggal untuk Perdana Menteri bukanlah sesuatu yang asing di peringkat antarabangsa. Banyak negara seperti Amerika Syarikat, Indonesia, dan Perancis telah lama mengamalkan sistem ini bagi mengelakkan konsentrasi kuasa dalam satu individu terlalu lama.
Di Malaysia, kita telah menyaksikan bagaimana tempoh pemerintahan yang terlalu panjang boleh membawa kepada pelbagai isu seperti penyalahgunaan kuasa, kronisme, dan ketirisan dalam pentadbiran. Usahkan dua penggal, separuh penggal pun boleh membawa kepada penyalahgunaan kuasa dan ketirisan yang parah.
Cadangan ini juga bertujuan untuk memastikan pemimpin negara sentiasa segar dengan idea baharu dan tidak terlalu selesa dengan kuasa yang dimiliki. Dalam sistem demokrasi yang matang, peralihan kuasa secara berkala adalah elemen penting bagi menjamin kestabilan politik dan pembangunan yang berterusan. Had dua penggal juga dapat mengelakkan situasi di mana seorang Perdana Menteri terlalu lama berkuasa sehingga menghambat peluang pemimpin lain untuk naik dan menyumbang kepada negara.

Selain itu, dengan adanya had dua penggal, pemimpin yang dipilih akan lebih fokus dalam melaksanakan dasar yang memberi impak positif dalam jangka masa yang ditetapkan. Mereka tidak akan berasa terlalu selesa atau menangguhkan keputusan penting hanya kerana yakin dapat terus berkuasa tanpa had. Ini juga boleh mengurangkan budaya politik berasaskan individu dan mewujudkan sistem kepimpinan yang lebih bersifat kolektif serta berorientasikan dasar.
Pelaksanaan had dua penggal ini juga mampu memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap sistem politik negara. Rakyat akan lebih yakin bahawa setiap pemimpin hanya diberi peluang yang adil dan terhad untuk berkhidmat, tanpa sebarang risiko pemusatan kuasa yang keterlaluan. Ini juga dapat mengurangkan amalan politik wang serta penyalahgunaan jentera kerajaan untuk mengekalkan kuasa secara tidak demokratik.

Namun, untuk menjayakan cadangan ini, pindaan Perlembagaan perlu dilakukan. Ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen, yang bermaksud kerjasama antara blok kerajaan dan pembangkang amat diperlukan. Sekiranya semua pihak benar-benar komited terhadap reformasi politik dan mahu melihat Malaysia menjadi sebuah negara demokrasi yang lebih matang, cadangan ini sewajarnya mendapat sokongan bipartisan.
Mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal bukanlah isu politik, tetapi satu langkah ke arah Reformasi Institusi. Kini terpulang kepada pemimpin politik sama ada mereka bersedia meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan individu atau tidak.
Aishah Zain
Penulis merupakan Timbalan Ketua Wanita Muda AMANAH Nasional