SelangorToday

APA YANG ANDA PERLU TAHU TENTANG INSENTIF ‘MAMAKERJA’

Perubahan dunia semakin canggih dan tidak lagi dipisahkan oleh tembok perbezaan negara, bangsa, teknologi dan pengetahuan. Secara tidak langsung ekosistem dan struktur dalam masyarakat juga sudah berubah. Dalam perubahan tersebut, pelbagai aspek baru juga terwujud yang perlu dialami mahupun dihadapi oleh masyarakat.

Perubahan Struktur Masyarakat

Paling jelas, sedar atau tidak, kelompok keluarga yang mempunyai suri rumah juga semakin mengecil. Akibat tekanan ekonomi yang terus memuncak, menyebabkan tanggungjawab menyediakan pendapatan bagi sebuah keluarga tidak terletak di bahu suami atau bapa sahaja, ia juga turut dipikul oleh isteri atau ibu. Kos sara hidup yang tinggi memaksa si ibu bekerja membantu meringankan beban ekonomi keluarga. Maka berkuranglah suri rumah sepenuh masa di negara kita.

Kesannya anak-anak dalam sesuatu keluarga perlu dihantar kepada pihak lain untuk menjaganya memandangkan ibu perlu bekerja. Ada banyak segmen penjagaan anak-anak ini termasuk menghantar kepada pengasuh persendirian(pertalian keluarga), taman asuhan kanak-kanak formal mahupun menghantar kepada pengasuh persendirian bukan ahli keluarga. Kesemua segmen tersebut bukanlah percuma, kos penjagaan disertakan dalam segmen tersebut bagi menampung keperluan penjagaan, upah penjaga dan sokongan lain.

Dengan cara itu, adakah kos sebuah keluarga dapat diatasi meskipun si ibu sudah bekerja? Sedangkan si ibu diminta bekerja untuk membantu beban keluarga, tetapi beban itu bertambah apabila si anak perlu dihantar kepada pusat penjagaan yang mempunyai kosnya sendiri. Sebab itu, Kerajaan Selangor dapat menghidup perihal ini dan melihat ia boleh menjadi satu aspek utama dalam tempoh 10 tahun akan datang akibat perubahan struktur masyarakat serta tekanan ekonomi yang semakin tinggi.

Arus Perubahan Pentadbiran

Selepas berjaya mengekalkan pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor selepas Pilihan Raya Negeri Ogos lalu, pemimpin Selangor yang dianggotai oleh gabungan parti HARAPAN dan Barisan Nasional dibawah teraju Amirudin Shari selaku Dato Menteri Besar mewujudkan beberapa portfolio atau bidang baru dalam pentadbirannya. Antaranya ialah ekonomi penjagaan atau ‘care economy’ selain perubahan iklim dan kos sara hidup.

Dibawah tanggungjawab Ahli Dewan Negeri Taman Templer, Anfaal Saari, Selangor bergerak kehadapan merintis pelbagai langkah baru bagi memastikan aspek kesejahteraan si penjaga dan yang dijaga dalam struktur masyarakat dapat dijamin. Ini bidang yang belum pernah diwujudkan di negeri lain. Selangor memulakannya seiring dengan salah satu nilai yang dibawa oleh Parti AMANAH Negara iaitu ‘Progresif’. Sentiasa berubah dan bertambah baik dalam penatdbiran. Oleh itu, pada tanggal 26 Ogos 2023, insentif ‘MamaKerja’ sebagai insiatif sulung ‘care economy’ Selangor dilancarkan.

Inisiatif Sulong Kerajaan Perpaduan Selangor

Media massa telah menyatakan secara jelas perician insentif ini termasuklah memberikan kepada 5,000 pemohon di Selangor yang mempunyai 3 atau lebih orang anak yang berumur bawah 12 tahun. Selain itu, pemohon mestilah berpendapatan isi rumah bawah RM8,000 serta mempunyai akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) ataupun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja(KWSP). Meskipun si ibu menanggung anak angkat, ia tetap berpeluang untuk menerima insentif ini dengan syarat dokumen sokongan disertakan dalam pemohonan.

Penghargaan buat ibu yang bekerja

Persoalan yang timbul, jika insentif ini ingin meringankan beban keluarga menampung kos penjagaan anak-anak, mengapa tak diagihkan kepada si suami atau si bapa yang merupakan ketua keluarga? Dalam persoalan ini, kerajaan menyedari, bahawa peranan wanita dalam pasaran kerja bukan semata-mata atas keterpaksaan untuk menampung beban kewangan keluarga, namun lebih penting, wanita yang bekerja telah menjadi penyumbang kepada ekonomi negara. Meskipun dengan kadar yang jauh lebih rendah berbanding lelaki, tetapi dengan insentif ini yang diagihkan kepada si ibu mampu menjadi dorongan kepad ibu-ibu untuk terus bekerja.

Dengan harapan kerajaan agar trend golongan wanita bekerja terus meningkat pada masa yang akan datang tanpa menafikan peranan mereka sebagai pemangkin kesejahteraan institusi keluarga. Kerajaan Selangor akan memberikan ruang dan sistem sokongan buat golongan wanita melibatkan diri dalam pasaran kerja, pembuat keputusan dan pencetus perubahan.

Dengan insentif RM1000 buat warga ibu bekerja, jaminan kerajaan Selangor adalah menjadikan insentif ini sebagai permulaan kepada inisiatif lain yang bakal direncanakan. Malah lontaran pertama melalui insentif ‘MamaKerja’ membentuk dimensi baharu dalam pemikiran masyarakat betapa ekonomi penjagaan merupakan aspek yang menjadi keutamaan sama ada penjagaan anak-anak, kelainan upaya mahupun warga emas.

Segala maklumat lanjut berkaitan insentif ini boleh didapati melalui aplikasi Selangkah.

Exit mobile version