 
                SHAH ALAM, 24 Julai — Pengerusi AMANAH Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim membidas keras kenyataan terkini Ketua Dewan Ulamak PAS yang disifatkannya sebagai tidak berasas dan mencemarkan imej Islam demi kepentingan politik sempit.
Menurut Izham, beliau amat kesal jika benar ucapan yang tular itu datang daripada pemimpin tertinggi sayap agama PAS, yang menurutnya tidak sewajarnya mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tuduhan liar seperti perompak dan zalim tanpa sebarang bukti kukuh.
“Apa alasan untuk buat demonstrasi dan jatuhkan Perdana Menteri? Apa yang beliau rompak? Siapa yang dia seksa? Dia dipilih secara demokrasi, menang pilihan raya dan kekal mendapat sokongan majoriti di Parlimen,” tegas Ir. Izham dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa sebarang ketidakpuasan terhadap kepimpinan negara seharusnya disalurkan melalui proses demokrasi yang sah seperti usul undi tidak percaya di Parlimen atau menunggu Pilihan Raya Umum akan datang.
Izham juga mempertahankan pelbagai inisiatif pro-rakyat yang telah dilaksanakan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar seperti penurunan harga minyak, bantuan sara hidup RM100 kepada semua rakyat dewasa, pembekuan kenaikan kadar tol dan peningkatan kestabilan ekonomi negara.
“Negara kita aman, harga barang semakin menurun, Perdana Menteri kita lantang mempertahankan isu Palestin di pentas antarabangsa. Jadi, di mana zalimnya beliau?” soal beliau lagi.
Ir. Izham turut mengecam tindakan segelintir pihak dalam PAS yang menggunakan imej Islam untuk menghasut rakyat turun ke jalan raya tanpa asas kukuh. Katanya, Islam adalah agama rahmat, bukan medan untuk fitnah, kebencian dan provokasi politik.
“Ini bukan Islam sebenar. Islam mengajak dengan hikmah dan kasih sayang, bukan mengheret orang kampung ke jalanan dengan sentimen melulu. Kita dipilih untuk berkhidmat kepada rakyat, bukan mencetus kekacauan.”

Beliau turut menyarankan agar PAS memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki negeri-negeri yang mereka tadbir seperti Kelantan dan Kedah, berbanding mencetus naratif retorik yang memecah-belahkan rakyat.
“Semua rakyat termasuk penyokong PAS turut menerima manfaat daripada dasar-dasar kerajaan perpaduan. Jadi hentikanlah memperalatkan agama untuk kepentingan politik.”
Akhir kata, Ir. Izham berdoa agar semua pihak diberi petunjuk dan taufik oleh Allah untuk berpolitik secara matang dan berintegriti demi kemajuan rakyat dan negara.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            