
PUTRAJAYA, 31 Mei – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan bahawa penguatkuasaan terhadap penggunaan silinder gas petroleum cecair (LPG) melalui Ops Gasak adalah berlandaskan peraturan yang telah diperkenalkan sejak tahun 2021, ketika negara ditadbir oleh kerajaan terdahulu.
Beliau mengulas kritikan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, yang mendakwa kerajaan telah melaksanakan peraturan baharu dan memansuhkan subsidi LPG bagi peniaga kecil melalui operasi penguatkuasaan itu.
Menurut Armizan, Ops Gasak yang bermula pada 1 Mei dan dijadualkan berlangsung hingga 31 Oktober adalah usaha kerajaan mengekang ketirisan subsidi LPG. Operasi ini dijalankan di bawah peruntukan sedia ada termasuk Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.
“Peraturan yang memperuntukkan mana-mana pihak menggunakan lebih 42 kilogram LPG pada satu-satu masa perlu memiliki Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB) telah dikuatkuasakan sejak 15 Oktober 2021. Ia digubal ketika pentadbiran kerajaan lalu, sewaktu Datuk Seri Wee Ka Siong sendiri merupakan anggota Jemaah Menteri,” kata Armizan dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kemungkinan berlaku salah faham berhubung perkara itu dan mencadangkan agar pihak yang mengkritik meneliti semula peraturan yang diluluskan ketika mereka berada dalam kerajaan.
Tegasnya lagi, penguatkuasaan terhadap penggunaan LPG bersubsidi bukan bertujuan menekan peniaga kecil, sebaliknya memfokus kepada penyelewengan seperti aktiviti ‘decanting’ haram dan penggunaan subsidi oleh industri berskala besar.
“Adalah tidak benar jika dikatakan semua penjaja dan peniaga dilarang menggunakan LPG bersubsidi. Hanya mereka yang menggunakan lebih tiga tong 14kg atau lebih 42kg pada satu-satu masa diwajibkan memohon permit PBKB,” jelas beliau.
Sebelum ini, Wee menerusi satu video di Facebook mendakwa bahawa peniaga kecil tidak lagi dibenarkan menggunakan tong LPG bersubsidi dan perlu beralih kepada tong komersial yang lebih mahal, sekali gus meningkatkan kos operasi yang akan dibebankan kepada pengguna.
Namun begitu, kementerian menegaskan bahawa subsidi LPG sebanyak RM26.60 bagi tong 14kg masih dinikmati oleh rakyat dan peniaga kecil yang layak, selaras dengan usaha kerajaan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang sepatutnya.