Puchong, 21 Mei – Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, Abbas Azmi menegaskan bahawa kerjasama erat antara parti-parti komponen dalam gabungan itu sentiasa berpaksikan kepada prinsip rundingan yang telah lama diamalkan, bukan perebutan kerusi semata-mata.
Mengulas isu perebutan kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan PH di Johor dan Melaka apabila ditanya wartawan, Abbas berkata, perbezaan pendapat adalah lumrah dalam politik gabungan, namun seharusnya diselesaikan melalui saluran yang telah dipersetujui bersama sejak sekian lama.
“Rundingan adalah asas utama kerjasama dalam PH. Kita telah melaksanakannya sejak zaman PH 1.0 bersama BERSATU dan lebih awal lagi ketika era Pakatan Rakyat bersama PAS. Prinsip ini kekal relevan kerana kita meletakkan kestabilan kerajaan sebagai matlamat utama, bukannya kepentingan sempit mana-mana parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abbas yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor berkata, politik di Selangor berbeza dengan Melaka dan Johor kerana di negeri ini, PH menjadi tunjang kepada Kerajaan Perpaduan sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.
“Setiap isu berbangkit di Selangor diselesaikan secara rundingan. Kita akui semua parti ada keperluan dan kepentingan masing-masing, namun penyelesaian bersama tetap menjadi keutamaan. Ia telah dibuktikan di Selangor dan harus dicontohi di negeri-negeri lain,” jelasnya.

Tambahnya, PH percaya bahawa rakan-rakan di Johor dan Melaka yang dipimpin BN akan menunjukkan kematangan politik yang sama dalam mengurus sebarang perbezaan, termasuk isu pembahagian kerusi.
“Adalah penting untuk memastikan kedua-dua negeri ini kekal di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan tidak terheret dengan konflik dalaman yang boleh menggugat kestabilan politik. Rundingan perlu diteruskan demi rakyat dan masa depan negara,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Abbas menyeru semua pihak agar fokus kepada usaha memperkukuh kerjasama strategik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), dengan menjadikan kestabilan kerajaan sebagai asas utama perjuangan bersama.
“PH dan BN telah membentuk satu kerjasama penting demi negara. Keutuhan gabungan ini harus diteruskan dengan semangat saling memahami, bukan persaingan tidak sihat yang boleh melemahkan kita di mata rakyat,” tegasnya.