SelangorToday

ASEAN 2025 : MALAYSIA KEMUDI GELOMBANG KEBANGKITAN ASIA TENGGARA

Tahun 2025, Malaysia sekali lagi diberi pengiktirafan menjadi Pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara atau ASEAN. Penggiliran yang dilakukan setiap tahun oleh 10 negara yang mengganggotainya dilihat bertepatan dengan kewujudan Kerajaan Perpaduan di Malaysia.

Ertinya pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi tahun hadapan pastinya didorong oleh keyakinan negara anggota yang lain memandangkan selepas pergolakan politik Malaysia berlaku, Malaysia kini dipimpin oleh kerajaan yang mempunyai pengukuhan majoriti di Dewan Rakyat serta mempunyai keazaman politik untuk mempertahankan kestabilan negara demi memberi ruang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.

FRANCK ROBICHON/Pool via REUTERS/File Photo

Meskipun bagi ramai pihak, pemilihan ini dianggap satu penggiliran biasa, namun penulis melihat peranan Malaysia sebagai pemimpin suara asia tenggara mulai semalam sebagai peluang keemasan Malaysia mencapai pemulihan dan kemajuan negara yang lebih cepat. Peluang ini jelas tidak dinikmati oleh Perdana Menteri Malaysia ke 8 dan 9 ketika mereka memerintah. Kesanya proses mencapai gagasan yang mereka bawa lambat dan terbantut.

Memahami tujuan asal penubuhan ASEAN, Malaysia mampu membawa satu lonjakan baharu bukan sahaja buat Malaysia, sebaliknya turut juga atas nama negara-negara asia tenggara. Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri merupakan sosok pemimpin dunia yang sedang diperhatikan oleh dunia berupaya menjadikan suara ASEAN didengari dan disegani. Dalam tempoh kurang daripada 2 tahun, Anwar telah pun diiktiraf sebagai pemimpin bertaraf dunia, malah dinobatkan sebagai 9 pemimpin Islam berpengaruh di dunia. Pastinya hasrat memimpin negara di rantau asia tenggara tidak menjadi rumit buat Malaysia.

Walau bagaimanapun, cabaran yang menanti Malaysia ketika mengemudi ASEAN adalah mengatasi pelbagai kerencaman dan keadaan semasa yang bakal muncul khususnya keadaan ekonomi dunia dan geopolitik pelbagai blok antarabangsa. Apakah pendirian ASEAN jika keadaan geopolitik antara blok-blok antarabangsa yang sedang bersaing menemui kemuncaknya? Kedudukan ASEAN yang berada di laluan strategik antara proksi dunia akan mengheret ASEAN sama.

Begitu juga apabila berhadapan dengan keadaan ekonomi dunia, kerencaman dan pelbagai situasi meruncing melibatkan ekonomi antarabangsa akan mendorong ASEAN membina jalan dan mekanisme yang lebih tuntas agar negara ASEAN tidak terkesan. Dalam ucapan sulung Anwar sebagai Pengerusi ASEAN semasa menerima tanggungjawab itu daripada Perdana Menteri Republik Lao, Thongloun Sisoulith, ASEAN akan menentukan pendirian dan halatujunya secara konsensus. Ini membuktikan Anwar akan membawa suara ASEAN ke peringkat dunia melalui kesepakatan yang dibentuk bersama oleh negara ASEAN.

Banyak isu lain yang sedang menanti negara ASEAN bertindak seiring dengan perubahan zaman. Isu alam sekitar yang sangat meruncing melibatkan pelbagai negara serantau memerlukan kewibawaan Malaysia sebagai jururunding kepada isu tersebut. Kesepakatan yang bakal dicapai kelak seharusnya menjadi kejayaan besar ASEAN memandangkan isu alam sekitar mesti diuruskan secara bersama merentas sempadan negara.

Isu kependudukan blok asing di Laut China Selatan juga akan menjadi tumpuan bagi pendirian ASEAN kerana sememangnya isu tersebut jelas boleh menggugatkan ketenteraman awam baik Malaysia mahupun negara anggota lain seperti Indonesia, Filipina dan lain-lain. Pertembungan kuasa besar akan memberikan kesan buruk bagi negara sekitar Laut China Selatan.

Anwar yang pernah menggagaskan gelombang kebangkitan asia ketika diberi peranan sebagai Timbalan Perdana Menteri, mampu meneruskan impiannnya apabila peluang mempengerusikan pertubuhan negara asia tenggara ini diberikan kepadanya. Keupayaan Anwar dalam mengukuhkan semula nilai mata Ringgit Malaysia boleh dijadikan asas kepada permulaan kearah aktiviti ekonomi antara negara ASEAN tidak lagi bersandarkan kepada nilai dolar Amerika Syarikat. Dengan langkah itu, pasang surut ekonomi AS tidak akan memberi implikasi besar kepada ekonomi rantau ini.

Ada pun Anwar hari ini telah pun menjadi pemimpin bersuara lantang dalam menegah sebarang pertempuran berlaku di Palestin, namun kebijaksanaan Anwar kelak dalam mendorong pemimpin ASEAN menyokong usaha Anwar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) bagi meredakan ketegangan di Tebing Barat itu akan membuatkan suara kepada tuntutan itu menjadi lebih padu, kuat dan tegas. Inilah ruang Anwar dan Malaysia membawa rantau asia tenggara ke arah kawasan strategik baik ekonomi dan politik dan mempunyai suara yang jitu terhadap isu kemanusiaan di peringkat global.

Ketamadunan asia tenggara yang rencam dan pelbagai, sistem pemerintahan yang berbeza, nilai budaya yang jelas berbilang akan menjadi ujian buat Anwar dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN. Jika penyatuannya berjaya seperti impian Anwar dalam buku Gelombang Kebangkitan Asia direalisasikan, maka benarlah Anwar dan Malaysia telah berjaya mengemudi kebangkitan ASEAN yang boleh dinamakan sebagai kebangkita Asia tenggara.

Buat masa ini anggota ASEAN tidak mempunyai ikatan perjanjian yang ampuh, sebaliknya piagam rasminya telah diwujudkan beberapa dekad yang lalu. Namun persefahaman sebagai sahabat yang bernegara dalam rantau yang sama akan mendorong ASEAN menelurkan sebuah halatuju dan langkah yang baik negaranya sendiri dan dunia.

Cikgu Syazmir HN

Exit mobile version