SelangorToday

ASPEK KEBAJIKAN DAN EKONOMI PENJAGAAN WARGA EMAS TERANGKUM DALAM RS-1

Kerajaan Negeri Selangor akan memperkasakan aspek kebajikan dan ekonomi penjagaan khususnya bagi kelompok warga emas untuk lima tahun yang akan datang. Exco Pemberdayaan Wanita, Kebajikan Masyarakat dan Ekonomi Penjagaan Selangor, Anfaal Saari berkata, aspek yang perlu dititik beratkan oleh kerajaan negeri itu memandangkan Malaysia akan menuju negara tua telah pun dirangkum dalam Rancangan Selangor Pertama(RS-1) Julai lalu. Malah Anfaal menambah, pelan tersebut sekaligus memerlukan kerajaan negeri menubuhkan jawatankuasa pembangunan warga emas peringkat daerah dan negeri serta perkhidmatan kaunselor dan khidmat bantuan di rumah.

Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri(ADN) Taman Templer berkata, pelan dalam RS-1 itu bagi menjamin kesejahteraan golongan warga emas yang juga paling ramai di Selangor berbanding negeri lain. Tambah beliau, menjelang tahun hadapan, kerajaan negeri akan menumpukan kepada usaha meningkatkan latihan dan bimbingan serta sektor ekonomi penjagaan. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Warga Emas di IDCC Shah Alam.

Sebelum ini, Simposium Ekonomi Penjagaan Selangor telah diadakan bagi membolehkan kerajaan negeri menerima pandangan dan maklum balas semua pemegang taruh berkaitan ekonomi penjagaan. Ia bagi memastikan setiap dasar dan undang-undang yang akan dilaksanakan terkait ekonomi penjagaan negeri dijamin kebajikan dan pelaksanaannya. Malah Anfaal yang baru memikul tugas sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri(MMKN) Selangor itu memegang portfolio Ekonomi penjagaan sebagai bidang baru dalam penggal kali ini. – SelangorToday

Exit mobile version