SelangorToday

ATASI KEKURANGAN DOKTOR PAKAR, AKTA 50 DIPINDA SEGERA

Keadaan kekurangan pakar perubatan yang berkhidmat di hospital kerajaan kian mendesak menyebabkan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) beriltizam mengatasinya. Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa KKM bersedia untuk mengangkat cadangan kepada jemaah menteri untuk menyegerakan pindaan Akta 50 bagi mengatasi masalah kekurangan doktor pakar. Kata beliau, pindaan akta tersebut perlu dilakukan bagi membolehkan pelatih daripada Program Parallel Pathway yang telah menyelesaikan program tersebut dengan jayanya berhak didaftarkan sebagai pakar dibawah akta tersebut.

Sebelum itu, dalam pertemuan Naib Presiden AMANAH itu bersama Duta Besar Ireland ke Malaysia dan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom ke Malaysia yang diadakan telah mencapai persetujuan bersama agar kerjasama yang sedia terjalin antara KKM dan institusi yang terlibat untuk memperkasakan jumlah pakar kesihatan di Malaysia akan diteruskan. Namun pindaan kepada Akta 50 perlu dilakukan segera bagi memastikan kesemua graduan kesihatan boleh diserap secepat mungkin. Cadangan Dr. Dzulkefly untuk meminda akta tersebut dijangka dibentangkan selewat-lewatnya pada Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga, Parlimen ke-15 pada bulan Jun 2024.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga turut memaklumkan bahawa latihan kepakaran melalui program sarjana dalam negara akan terus diperkasakan agar program pembangunan kapasiti tempatan kian unggul. Justeru itu, beliau menggesa semua pihak agar memberikan sepenuh kerjasama dan kepentingan seluruh pemegang taruh, terutamanya pelatih Program Parallel Pathway dan rakyat yang bergantung kepada perkhidmatan mereka. KKM memberi jaminan bahawa kecekapan dan keberkesanan penyampaian sektor kesihatan awam kepada masyarakat dapat ditingkatkan dibawah gagasan Malaysia MADANI. –SelangorToday

Exit mobile version