Kementerian Perdagangan dan Industri (MITI) digesa mengatasi ketidakpadanan peluang pekerjaan yang ketara menerusi perkongsian data dengan semua pihak.
Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketidakpadanan pekerjaan membabitkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) itu berlaku di kebanyakan negeri di Malaysia.
“Ada keperluan perkongsian data dan maklumat daripada kementerian dan agensi demi menjamin kelangsungan serta keupayaan menghasilkan tenaga pekerja yang mencukupi untuk setiap bidang.
“Inilah dilema yang berlaku di negeri-negeri. Apabila suatu pelaburan diluluskan, harus disertakan apakah keperluan tenaga kerja yang perlu diisi,” katanya ketika sesi perbahasan peringkat jawatankuasa MITI di Dewan Rakyat.
Dato’ Menteri Besar berkata maklumat itu juga perlu disalurkan kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia supaya semua pihak dapat berhubung sekali gus menyelesaikan isu keperluan tenaga kerja yang tidak sepadan.
Menurutnya kelompongan jawatan di peringkat kemahiran teknologi tinggi masih lagi ketara walaupun 80 hingga 90 peratus graduan TVET dilaporkan tidak menganggur.
“Walaupun lebih 80 peratus graduan TVET sudah mendapat peluang pekerjaan tetapi di luar sana, untuk pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknologi tinggi tertentu, kita masih ada lagi kekosongan,” katanya.