Site icon SelangorToday

Aturan Kerja Anjal: Anfaal sambut baik, cadang dijadikan dasar jangka panjang

anfaal

SHAH ALAM, 26 MAC — Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari menyifatkan cadangan pelaksanaan aturan kerja anjal dalam kalangan penjawat awam sebagai langkah tepat dan wajar dijadikan dasar kekal, bukan sekadar penyelesaian sementara.

Beliau menyambut baik inisiatif Kerajaan MADANI yang mempertimbangkan pelaksanaan bekerja dari rumah dan waktu kerja fleksibel secara berperingkat susulan ancaman krisis tenaga global akibat konflik di Timur Tengah.

Menurutnya, pendekatan tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan penggunaan petroleum dalam kalangan rakyat, malah berpotensi menurunkan beban subsidi kerajaan yang semakin meningkat akibat kenaikan harga minyak dunia.

“Namun, pelaksanaan ini tidak seharusnya bersifat sementara. Ia perlu dilihat sebagai satu dasar jangka panjang khususnya bagi penjawat awam terpilih,” katanya dalam satu kenyataan.

Anfaal menegaskan bahawa aturan kerja anjal memberi manfaat besar kepada golongan penjaga yang perlu mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya.

Katanya, fleksibiliti kerja mampu membuka peluang lebih adil kepada golongan ini untuk kekal dalam pasaran kerja, di samping memperkukuh daya tahan ekonomi keluarga dalam menghadapi ketidaktentuan masa depan.

Tambah ADN Taman Templer itu, pendekatan ini turut selari dengan Matlamat 3 dalam Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024–2026 yang menumpukan usaha merapatkan jurang gender dalam pasaran buruh.

Dalam masa sama, beliau menggesa sektor swasta untuk turut melaksanakan aturan kerja anjal secara lebih meluas bagi mewujudkan persekitaran kerja yang lebih inklusif dan mesra keluarga.

“Data TalentCorp menunjukkan majoriti pekerja mencatat peningkatan atau kestabilan dari segi produktiviti dan kualiti hidup apabila aturan kerja anjal dilaksanakan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang memperkasa pelaksanaan kerja fleksibel, termasuk melalui Garis Panduan Pelaksanaan Aturan Kerja Fleksibel 2024 oleh Kementerian Sumber Manusia.

Mengulas lanjut, Anfaal yang juga Timbalan Ketua Wanita AMANAH berkata dalam mendepani ketidaktentuan global, pendekatan kerja anjal bukan sahaja membantu mengurangkan impak krisis semasa, malah menjadi asas penting dalam membina ekosistem kerja yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mesra keluarga.

Exit mobile version