SHAH ALAM, 9 JUN 2025 – Cadangan pelaksanaan audit menyeluruh terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) berikutan penstrukturan semula yang melibatkan 5,000 pekerja kontrak mendapat pelbagai reaksi, namun penekanan perlu diberikan agar proses itu dilakukan secara profesional dan bebas daripada unsur politik.
Ahli Parlimen Shah Alam, Hj Azli Yusof menegaskan, audit bebas terhadap syarikat minyak dan gas nasional itu boleh dilaksanakan, namun ia tidak harus dipolitikkan sehingga menjejaskan keyakinan pelabur serta reputasi Petronas di peringkat antarabangsa.

“Petronas merupakan syarikat bertaraf global dan sudah pun tertakluk kepada audit dalaman serta audit tahunan yang ketat. Jika ada keperluan audit tambahan, ia mestilah dijalankan secara bebas, telus dan profesional – bukan atas tekanan politik.
“Kita tidak mahu audit pihak ketiga dijadikan medan politik sehingga memberi kesan negatif kepada pelabur dan rakan strategik antarabangsa Petronas. Yang penting, integriti dan kepercayaan terhadap Petronas mesti dikekalkan,” memetik katanya kepada Sinar Harian.
Cadangan audit itu mula dibangkitkan oleh Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, susulan keputusan Petronas untuk menstruktur semula organisasi dengan menamatkan perkhidmatan sekitar 10 peratus daripada 50,000 kakitangan, termasuk 5,000 pekerja kontrak.
Hj Azli turut mencadangkan penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memantau tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk Petronas. Menurutnya, ini dapat memastikan setiap keputusan besar yang dibuat adalah selari dengan kepentingan rakyat dan negara, tanpa perlu mencampuri urusan operasi harian syarikat.
“Operasi syarikat tidak perlu diganggu, tetapi rakyat berhak tahu rasional di sebalik sebarang keputusan besar. Penerangan terbuka oleh pihak Petronas juga penting bagi mengelakkan kekeliruan dan menjaga imej syarikat serta kerajaan,” katanya lagi.
Tegas beliau, keseimbangan antara ketelusan dan kestabilan keyakinan pelabur perlu menjadi keutamaan dalam sebarang langkah ke arah penambahbaikan tadbir urus syarikat milik negara.