 
                Selayang, 24 Ogos – Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Selangor meletakkan advokasi pembaharuan Mahkamah Syariah sebagai antara agenda utama perjuangan mereka selain menumpukan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16.
Ketua AWAN Selangor, Rawiyiah Zakaria dalam ucaptamanya pada Konvensyen AWAN Selangor 2025 di Selayang menegaskan, terlalu banyak wanita masih teraniaya akibat kelemahan sistem dan pelaksanaan undang-undang di Mahkamah Syariah, sedangkan institusi itu sepatutnya menjadi pelindung.
“Banyak ibu tunggal terpaksa menunggu bertahun-tahun hanya untuk menuntut nafkah anak. Statistik juga menunjukkan Selangor merekodkan 4,690 kes keganasan domestik antara 2020 hingga Ogos 2023, yang tertinggi di negara. Sistem Syariah masih tidak cukup responsif kepada penderitaan wanita,” ujarnya.
Justeru, AWAN Selangor akan melancarkan Kempen Advokasi Mahkamah Syariah Mesra Wanita bagi menuntut beberapa reformasi utama, antaranya:
- Mempercepatkan prosedur kes berkaitan nafkah, hak jagaan anak dan keganasan rumah tangga.
- Menambah bilangan hakim serta pegawai sokongan psikososial bagi mengurangkan kelewatan kes.
- Peruntukan kewangan khusus untuk infrastruktur mesra wanita di Mahkamah Syariah.
- Penubuhan Biro Bantuan Guaman Wanita bagi membantu golongan berpendapatan rendah.
- Digitalisasi dan e-filing untuk mengurangkan beban kehadiran fizikal wanita di mahkamah.
Rawiyiah menegaskan usaha itu bukan bertujuan mencabar institusi kehakiman, tetapi menjadi jambatan agar sistem lebih mesra, cepat dan adil kepada wanita.
“Rahmat Tuhan menyinari sebuah negara apabila wanita dan keluarga hidup dalam keadilan dan perlindungan. Dari kasih ibu dan bimbingan keluarga inilah lahir generasi masa depan yang menegakkan tiang kemakmuran negeri dan negara,” katanya.

Selain advokasi tersebut, AWAN Selangor turut memperincikan gerak kerja menghadapi PRU-16, antaranya memperkukuh ideologi parti melalui program ProAMANAH, memperkasa jentera komunikasi di media sosial, serta menambah jentera di setiap Daerah Mengundi (DM).
AWAN Selangor juga akan menampilkan ikon-ikon profesional dan aktivis wanita di media sosial, menggerakkan pempengaruh TikTok progresif, serta menganjurkan podcast isu rakyat khususnya bagi mendekati pengundi atas pagar.
Menurut Rawiyiah, langkah ini penting agar AMANAH dapat menguasai naratif politik dengan pendekatan kritis, berfakta dan mudah difahami rakyat.
“Dalam tempoh dua tahun menuju PRU-16, apa sahaja boleh berlaku. AWAN Selangor mesti bergerak awal, membina kekuatan organisasi, menguasai komunikasi digital dan memastikan perjuangan kita sampai ke hati rakyat,” tegasnya.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            