SelangorToday

AWANG BEMEE DIPILIH SEBAGAI YANG DIPERTUA DEWAN NEGARA KE-21

Penasihat undang-undang Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) Dato Awang Bemee Awang Ali Basah hari ini dipilih sebagai Tuan Yang Dipertua Dewan Negara ke-21. Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka  dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada minggu lalu oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Beliau berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian serta pernah menyertai kursus dan lawatan sambil belajar di bawah naungan Persatuan Parlimen Komanwel (CPA) di United Kingdom dan Australia. Berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, Awang Bemee lahir di Sibu pada 1959. Beliau memulakan persekolahan di tempat lahirnya sebelum melanjutkan pengajian undang undang (1979 hingga 1983) di Universiti Malaya.

Antara yang sama menuntut dengan beliau ketika itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli – kedua-duanya anak Sarawak. Awang Bemee diterima sebagai peguambela dan peguamcara pada 1984 dan memulakan karier sebagai pengamal undang undang.

Perlantikan beliau dicadangkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan disokong oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri(Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman.  – SelangorToday

Exit mobile version