Keputusan Pilihan Raya kecil DUN Ayer Kuning, Perak telah menobatkan calon daripada kerajaan perpaduan yang diwakili oleh Barisan Nasional, Dr Ustaz Yusri Bakir menang dengan majoriti besar meninggalkan calon Perikatan Nasional yang diwakili oleh PAS, Ustaz Muhaimin serta calon Parti Sosialis Malaysia(PSM) Bawani KS.
Bermacam-macam tafsiran yang dibuat oleh penganalisis politik serta pemain politik Malaysia atas keputusan yang telah meletakkan kerajaan perpaduan mendahului kemenangan dalam siri Pilihan Raya Kecil berbanding PN.
Namun yang jelas keputusan PRK kali ini menunjukkan sebuah isyarat yang jelas bahawa masyarakat melayu Islam menolak politik ala PAS. Berdasarkan komposisi pengundi di DUN Ayer Kuning, pengundi melayu menguasai sebilangan besar dari jumlah pengundi yang ada dihadapan pengundi kaum cina, india dan orang asli. Keputusan pengundian itu boleh diterjemahkan sebagai kencederungan atau tingkah laku pengundi melayu Islam kepada landskap politik negara.

PAS sebagai sebuah parti yang didakwa dan dijaja membawa politik Islam sebagai teras perjuangan mereka ditolak sepenuhnya dalam PRK tersebut. Ini dibuktikan dengan hanya satu sahaja Pusat Daerah Mengundi atau PDM yang dimenangi oleh PN dan selebihnya dikuasai oleh BN dengan majoriti yang besar. Pendekatan PAS sebagai sebuah parti Islam yang menggunakan sentimen perlekehan semasa proses penamaan calon dengan menjaja emoji HAHAHAHA serta karikatur pemimpin utama DAP, Loke Siew Fok tidak melonjakkan langsung kencenderungan masyarakat melayu kepada PAS malah tidak mengurangkan pula undi kerajaan perpaduan.
Lebih mengujakan, setelah tidak mampunyai modal atas kejayaan mereka diberi tanggungjawab memerintah Malaysia selama 33 bulan dahulu, isu sisa ladang babi yang digunakan sebagai isu utama mereka dalam pertempuran kali ini sama sekali gagal memindahkan sokongan pengundi melayu Islam kepada PAS sebaliknya telah melunturkan imej politik Islam yang dijaja oleh PAS. Sedarkah PAS bahawa isu ladang babi memang telah pun wujud setelah sekian lama di Malaysia. Malah penegasan oleh Exco kerajaan negeri Perak serta Menteri Pertanian sendiri terkait isu yang digembar-gemburkan membuktikan bahawa isu ladang babi telah pun berada dalam arus semasa di Malaysia bersendikan aturan dan undang-undang yang telah pun tertakluk. Tiba-tiba PAS menyentuh isu tersebut yang berada pada lunas undang-undang dan wujud sekian lama demi mendapatkan undi masyarakat melayu Islam. Akhirnya strategi itu gagal mempengaruhi pengundi di Ayer Kuning.
Memetik satu temubual antara Almarhum Ustaz Fadzil Noor dengan wartawan antarabangsa satu ketika dahulu apabila disoal tentang kegiatan judi yang sudah lama berjalan di Genting Highland, Ustaz Fadzil disoal sama ada jika PAS diberi peluang memerintah Malaysia, adakah PAS akan menutup pusat judi yang ada disana. Ketika itu PAS berada dipuncak kepercayaan masyarakat serta mempunyai nilai politik yang tinggi pasca pemecatan Anwar Ibrahim dalam UMNO. Pun begitu, Ustaz Fadzil menjawab dengan penuh hikmah apabila beliau menyatakan PAS akan mendahulu isu kezaliman serta ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat berbanding menyantuni isu pusat kegiatan judi itu. Jawapan itu menyerlahkan keutamaan dalam politik Islam yang sebenar dan tulus ialah menumpukan kepada usaha sejagat yang perlu disegerakan. Isu sejagat lebih utama dan perlu dalam konteks negara Malaysia sebelum melihat kepada isu lain.
Kisahnya lebih kurang sama dengan strategi PAS untuk menunggang isu ladang babi berbanding menumpukan soal kebajikan pengundi, memberikan pendidikan kepada pengundi serta meletakkan pengundi dalam keselesaan hidup. PAS terpaksa memacu isu yang dianggap ketakutan kepada masyarakat melayu tetapi tidak utama pun bagi umat Islam. Malah jika ladang babi itu ada atau ditutup, ia tidak mendatang sebarang manfaat pun buat masyarakat melayu Islam. Disinilah satu bukti yang jelas PAS hari ini yang jauh berbeza dengan pendekatan PAS yang dibawa oleh Ustaz Fadzil.
Sebaliknya Parti AMANAH Negara sebagai rakan komponen rakan kerajaan perpaduan yang dari awal membantu secara aktif untuk kemenangan calon BN sentiasa menjadi pengimbang kepada keterlanjuran kempen PAS-PN dalam PRK kali ini. Keterlanjuran yang boleh merendahkan politik Islam itu ditambat semula oleh jawapan balas serta pendekatan politik yang dibawa oleh AMANAH. Dari isu tauliah mengajar calon PAS yang jika tidak diteguroleh AMANAH mampu membawa salah faham serta fitnah, isu ladang babi yang pernah duduk dibawah pimpinan PAS Perak sebagai Exco serta penjelasan AMANAH terkait fatwa politik yang dikeluarkan Hj Hadi terkait keutamaan mengundi berbanding menunaikan haji sedikii sebanyak meredakan salah faham masyarakat kepada politik Islam. Kekeruhan yang dicetuskan melalui kempen PN dijernihkan oleh penjelasan pimpinan AMANAH selain pemimpin BN itu sendiri.
Model politik AMANAH yang dibawa hari ini mampu menjadi model utama bagi segmen melayu Islam menuju PRU ke-16. AMANAH memimpin sebuah ‘role model’ politik yang sangat diperlukan seiring perubahan landskap politik Malaysia hari ini. Demi membawa segmen melayu Islam terus sama membangun dalam arus perubahan pimpinan kerajaan perpaduan ini, AMANAH perlu disokong sepenuhnya dalam PRU akan datang demi menterjemahkan pendekatan model politik Islam yang sesuai dengan Malaysia. Sikap kesederhaan, politik yang bersifat mengutamakan nilai berbanding simbolis serta menginklusifkan peranan politik Islam dalam masyarakat perlu dipasakkan dalam kepimpinan negara akan datang. Justeru memilih AMANAH sebagai parti yang mewakili segmen melayu Islam serta menolak PAS tidak bermaksud pengundi menolak Islam, sebaliknya memilih pelopor kepimpinan yang mampu membawa manfaat kepada Islam, umatnya dan negara.
Jika PAS mahu menindakkan penolakan pengundi kepada mereka dengan menyatakan jumlah undi mereka pada PRK kali ini tetap sama berbanding PRU lalu, ia silap kerana PAS hanya mampu mengepung pengundi teras mereka yang terdiri dari ahli PAS atas sentimen walak. Namun pendekatan politik Islam ala PAS tidak berjaya mengubah kecenderungan pengundi melayu atas pagar serta pengundi BN kepada PAS. Isu ladang babi dan UMDAP gagal memecahkan undi BN dan PH berpindah kepada PN. Tercatat diatas bahawa pengundi melayu Islam menolak politik ala PAS, pendekatan politik PAS terbukti berbeza dengan pendekatan yang dibawa oleh bekas Presidenya, Ustaz Fadzil serta AMANAH menjadi pilihan utama hari ini bagi menegakkan makna politik Islam sebenar di Malaysia.
Tulisan ini didedikasikan buat Almarhum Hj A Yazid Alias yang baru menemui Ilahi hari Sabtu 26 April 2025. Al-Fatihah