SelangorToday

AYUH SEGARKAN PARTI AMANAH – SERU DR. MUJAHID

Mengumpamakan Parti Amanah Negara ibarat sebuah bunga, ia mestilah kelihatan wangi dan mekar berkembang untuk menarik minat orang ramai. Begitulah juga dengan AMANAH parti progresif Islam yang kini hampir mencecah 8 tahun. Ia perlu kelihatan segar dengan idea yang jelas dan jitu serta prinsip perjuangan yang menarik. Begitulah perumpamaaan yang digunakan oleh Naib Presiden AMANAH, Dr. Mujahid Yusof Rawa dalam satu tulisannya hari ini. Seruan beliau mahu melihat AMANAH terus kekal berada dipersada politik dengan idea yang baik dan menarik. Tambah beliau, AMANAH sudah pun mempunyai tanah yang subur untuk terus hidup iaitu dalam kerangka prinsip Islam Rahmatan Lil Alamin.

Pimpinan AMANAH perlu mengorak langkah lebih pantas

Namun syarat kedua harus diberikan perhatian iaitu merealisasikan gagasan tersebut. Ia perlu dibajai dengan usaha berterusan tanpa rasa jemu dan lelah. Ertinya hiruk pikuk perjuangan ini harus ditempuhi dan kita kekal meneruskan perjuangan. Tegas Dr. Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Agama Islam), resam cabaran yang ada dalam perjuangan menuntut setiap ahli meletakkan kebersamaan dalam kepimpinan. Meskipun berbeza pandangan, keputusan yang ditetapkan oleh kepimpinan harus dipatuhi dan dilaksanakan bersama-sama. Kepada kepimpinan parti pula, Dr. Mujahid mengingatkan agar kita semua berlapang dada mendengar rintihan dan rungutan ahli-ahli. Justeru itu mampu memelihara perjuangan apabila ahli sentiasa disantuni oleh pimpinan.

Memasuki Pasca PRU ke-15, AMANAH memenangi 8 kerusi berbanding sebelum ini 11 kerusi parlimen. Ia merupakan satu petanda awal yang mewajarkan AMANAH melalukan penjenamaan semula dalam masyarakat. Tuntutan Dr. Mujahid yang mahu melihat AMANAH kembali segar merupakan tuntutan asas bagi mengekalkan kecenderungan rakyat kepada AMANAH. Maka Dr. Mujahid menyeru ahli dan kepimpinan AMANAH menggerakkan perjuangan Islam Rahmatan Lil Alamin. – Selangor Today

Exit mobile version