Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor, Hj Azli Yusof menempelak sikap yang diambil oleh Ahli Parlimen Perikatan Nasional yang enggan berunding dengan Kerajaan Perpaduan bagi menyelaraskan peruntukan buat Ahli Parlimen dari blok Pembangkang. Beliau menyifatkan sikap yang diambil oleh PN adalah untuk memperlihatkan keburukan Kerajaan Perpaduan. Ini akan menimbulkan simpati daripada rakyat dan akan dimanipulasi oleh pihak PN. Beliau yang mengulas soal desakan PN untuk Kerajaan Perpaduan bersikap adil kepada pihak pembangkang berkata, dengan sentimen simpati itu, PN akannya sebagai hujah untuk menghalalkan tindakan menjatuhkan Kerajaan Perpaduan ini.
Sebelum ini dalam ucapan Penggulungan di Dewan Rakyat terkait Usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12(KSP RMK12), Perdana Menteri membuka ruang kepada pihak pembangkang untuk mengadakan rundingan dengan Kerajaan Perpaduan yang diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri 2, Fadillah Yusof berkaitan isu peruntukan kepada ahli parlimen. Namun seetelah beberapa lama tawaran rundingan dibuka, ahli Parlimen PN tidak menghantar sebarang surat bagi memulakan proses rundingan dan menyebabkan sehingga hari ini tidak peruntukan yang diturunkan kepada ahli Parlimen PN. Walau bagaimanapun, kata Perdana Menteri, peruntukan bukan melalui ahli parlimen ke kawasan-kawasan PN masih kekal dan telah pun diturunkan untuk dinikmati oleh rakyat.
Hj Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menambah, dengan naratif menjatuhkan Kerajaan Perpaduan seperti yang selalu digembar-gemburkan oleh Presiden PAS, Hj Abdul Hadi Awang itu mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat. Naratif itu mewujudkan ketidakharmonian dalam negara malah menghilangkan keyakinan pelabur ke Malaysia. Kesannnya rakyat yang perlu merasai impak kecelaruan tersebut. Malah Hj Azli mengangap kegagalan PN untuk mengadakan rundingan tersebut berniat untuk memburuk-burukkan Kerajaan Perpaduan semata-mata. – SelangorToday