KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
Menurut Azmin, keputusan itu dibuat selepas mengambil perhatian bahawa pelantikan beliau ke jawatan tersebut berada di bawah bidang kuasa Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
“Sehubungan itu, saya juga mengambil pendirian untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung Perikatan Nasional berkuat kuasa 1 Januari 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, Azmin turut memaklumkan bahawa beliau turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional Negeri Selangor, juga berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih atas kerjasama yang telah diberikan oleh semua pihak sepanjang tempoh memegang kedua-dua jawatan berkenaan.
Pengumuman itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai penyusunan semula kepimpinan PN, khususnya melibatkan pengurusan parti di peringkat pusat dan negeri Selangor menjelang tahun 2026.