 
                SERDANG, 26 Ogos – Penguasaan Bahasa Inggeris perlu diperkasakan sejak peringkat awal persekolahan kerana ia menjadi tonggak utama dalam membuka lebih banyak peluang akademik dan profesional pada masa hadapan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, kemahiran berbahasa Inggeris bukan sahaja membantu murid dalam proses pembelajaran, malah menjadi nilai tambah apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Anak-anak kita adalah aset berharga negeri Selangor yang bakal mewarnai kepimpinan dan pembangunan negara. Justeru, usaha meningkatkan penguasaan bahasa dan ilmu sejak awal amatlah wajar disokong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Pembangunan Pendidikan dan Penguasaan Bahasa Inggeris di SJK (T) FES Serdang pagi tadi. Turut hadir ialah Ahli Majlis MBSJ, Tey Han Cherk, serta Ketua Komuniti India DUN Seri Serdang, Chandraseelan.

Dalam pada itu, Abbas turut menzahirkan penghargaan kepada pihak sekolah, guru dan ibu bapa yang sentiasa komited membimbing anak-anak dalam pendidikan.
Katanya, kejayaan generasi muda pada masa akan datang bukan sahaja menjadi kebanggaan bersama, malah mampu menyumbang kepada hasrat menjadikan Selangor sebagai negeri maju dan berdaya saing.
 
				 
                             
                             
                             
                             
                            