SelangorToday

BAHAYA SIKAP BULI MENURUT ISLAM DAN PERUNDANGAN MALAYSIA

Sikap buli adalah satu bentuk kezaliman yang dilarang keras dalam Islam dan juga bercanggah dengan undang-undang di Malaysia.

Perbuatan ini, yang sering berlaku di kalangan pelajar, tempat kerja, pasangan suami isteri atau keluarga dan masyarakat umum, boleh membawa kesan buruk bukan sahaja kepada mangsa tetapi juga pembuli serta masyarakat secara keseluruhan.

Dalam Islam, buli jelas bertentangan dengan nilai keadilan dan penghormatan sesama manusia.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum menghina kaum yang lain kerana boleh jadi mereka (yang dihina) lebih baik daripada mereka (yang menghina).” (Surah al-Hujurat: 11).

Rasulullah SAW juga bersabda: “Seorang Muslim adalah orang yang orang lain selamat dari lisan dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari, no. 10; Muslim, no. 40).

Hadis ini menegaskan bahawa tindakan menyakiti orang lain secara fizikal atau emosi adalah dilarang keras.

Perbuatan buli juga diancam dengan balasan berat di dunia dan akhirat. Sabda Rasulullah SAW: “Takutlah kamu akan doa orang yang dizalimi, kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2448; Muslim, no. 19).

Buli juga termasuk dalam kategori kezaliman, yang mana Allah SWT memberi peringatan: “Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim sehingga kamu disentuh oleh api neraka.” (Surah Hud: 113).

Dari sudut perundangan Malaysia, perbuatan buli boleh didakwa di bawah pelbagai undang-undang bergantung kepada jenis buli seperti Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 323: Menyebabkan kecederaan kepada orang lain, Seksyen 351: Mengugut atau melakukan serangan secara fizikal, Seksyen 503: Menakut-nakutkan mangsa secara lisan atau perbuatan, Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336), Seksyen 14: Meliputi perbuatan menghina atau mengganggu ketenteraman orang lain, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), Seksyen 233: Melibatkan buli siber, seperti menghantar mesej lucah, bersifat ancaman, atau menghina melalui media sosial, Akta Kerja 1955 (Akta 265), buli berlaku di tempat kerja, mangsa boleh membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja. Ia dianggap sebagai salah laku yang melanggar hak pekerja.

Kes buli, jika melibatkan kematian, boleh didakwa sebagai kesalahan lebih serius seperti pembunuhan atau menyebabkan kematian tanpa niat (Seksyen 302 atau Seksyen 304 Kanun Keseksaan).

Kesan perbuatan buli sangat buruk sekali. Mangsa buli sering mengalami tekanan emosi yang melampau, kemurungan yang teruk, dan trauma yang berpanjangan. Dalam kes tertentu, ia boleh membawa kepada niat atau tindakan melakukan perbuatan bunuh diri.

Happy asian family riding bikes in the beautiful morning outdoor

Pembuli pula berpotensi menjadi individu yang tidak berempati, dihukum di dunia melalui undang-undang, dan diazab di akhirat.

Islam menyeru kepada pemupukan akhlak mulia dan mencegah kezaliman. Rasulullah SAW bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1162).

Amar makruf nahi mungkar juga perlu diamalkan agar masyarakat bersama-sama menentang kezaliman dan melindungi mangsa buli.

Kesimpulannya, sikap buli adalah perbuatan zalim yang dilarang keras dalam Islam dan dikawal ketat oleh undang-undang di Malaysia. Setiap individu bertanggungjawab untuk menjauhi sikap ini dan melaporkan kejadian buli untuk mencegahnya daripada terus berlaku. Pendidikan yang sempurna bermula di rumah dalam menjauhkan amalan buli tidak wujud sama sekali. Semoga masyarakat kita menjadi lebih harmoni, adil, dan diberkati Allah SWT.

Hj Shamsul Maarif bin Ismail

Exit mobile version