Fitnah merupakan salah satu dosa besar yang sangat dikecam dalam Islam. Ia membawa kesan buruk yang boleh memecahbelahkan masyarakat, menghancurkan keharmonian, dan menyemai permusuhan antara individu atau kumpulan.
Dalam Al-Quran dan Hadis, terdapat banyak dalil yang mengingatkan umat Islam tentang bahaya fitnah dan akibatnya terhadap kehidupan dunia dan akhirat.
Allah SWT berfirman:
“Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan” (Surah Al-Baqarah: 191).
Ayat ini menunjukkan betapa dahsyatnya kesan fitnah kerana ia mampu menghancurkan hubungan sosial, membawa kepada perpecahan, dan mencetuskan kekacauan dalam masyarakat. Fitnah bukan sahaja melibatkan penindasan dan penyebaran kebatilan, tetapi juga merosakkan nilai-nilai kemanusiaan.
Selain itu, dalam Surah Al-Anfal, Allah SWT memberi amaran:
“Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (ujian atau bencana) yang bukan sahaja menimpa orang-orang yang zalim dalam kalangan kamu secara khusus, tetapi juga menimpa orang lain. Ketahuilah bahawa Allah sangat keras azab-Nya” (Surah Al-Anfal: 25).
Ayat ini menekankan bahawa kesan fitnah tidak terhad kepada pelaku sahaja, tetapi juga menimpa masyarakat secara keseluruhan. Oleh itu, umat Islam diperintahkan untuk mengelakkan diri daripada menjadi punca fitnah dan berusaha menjaga keamanan dalam komuniti.
Fitnah sering dilakukan oleh pelbagai individu, kumpulan dan pihak. Ada juga yang dilakukan oleh seorang ahli politik juga kini menjadi satu trend.
Ia merupakan salah satu bentuk fitnah yang sangat berbahaya dan dilontar tanpa ada sandaran fakta dan ilmu.
Dalam dunia politik, fitnah sering digunakan untuk menjatuhkan pihak lawan, memburukkan reputasi seseorang, atau meraih sokongan melalui penyebaran berita palsu.
Kesannya boleh menjadi sangat besar, termasuk perpecahan rakyat, ketidakstabilan politik, dan hilangnya kepercayaan terhadap sistem pemerintahan.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya seseorang itu boleh mengucapkan satu perkataan tanpa memikirkan akibatnya, lalu ia terjerumus ke dalam neraka sejauh jarak antara timur dan barat” (Hadis Riwayat Al-Bukhari, no. 6477).
Hadis ini sangat relevan dalam konteks fitnah politik, di mana ucapan atau kenyataan yang tidak benar boleh memusnahkan keharmonian negara.
Fitnah politik juga sering menjadi punca ketidakadilan. Apabila sesuatu berita palsu disebarkan, masyarakat mungkin bertindak balas tanpa menyelidiki kebenaran, menyebabkan individu atau kumpulan tertentu menjadi mangsa. Ini bertentangan dengan perintah Allah dalam Al-Quran:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah kebenarannya…” (Surah Al-Hujurat: 6).
Fitnah politik yang tidak dibendung boleh mengakibatkan masyarakat kehilangan fokus kepada pembangunan dan perpaduan, sebaliknya terjebak dalam konflik dan perpecahan.
Selain itu, fitnah dalam kalangan ahli politik sering menyebabkan kerosakan moral dalam masyarakat. Apabila pemimpin menunjukkan contoh buruk dengan menyebarkan fitnah, rakyat juga cenderung mengikutinya. Hal ini melahirkan budaya tidak sihat seperti memfitnah, memburuk-burukkan orang lain, dan menyemai kebencian. Sewajarnya jika telah tersalah kata, memohon maaf dan menarik balik kenyataan adalah lebih mulia.
Rasulullah SAW bersabda:
“Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila dia menceritakan semua yang didengarnya (tanpa menyelidiki kebenarannya)” (Hadis Riwayat Muslim, no. 5).
Ini menunjukkan bahawa menyebarkan sesuatu tanpa asas yang kukuh adalah satu dosa besar.
Kesimpulannya, fitnah adalah satu dosa besar yang memberikan kesan buruk bukan sahaja kepada individu tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan. Fitnah oleh ahli politik membawa bahaya yang lebih besar kerana ia bukan sahaja merosakkan hubungan antara rakyat, tetapi juga boleh menggugat kestabilan negara.
Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa bermuhasabah, menjaga lidah, dan memastikan setiap tindakan mereka tidak menjadi punca fitnah. Dengan mengelakkan fitnah, terutama dalam dunia politik, kita dapat memelihara keamanan, keharmonian, dan keutuhan negara serta umat Islam secara keseluruhannya.
Hj Shamsul Maarif bin Ismail