Isu bah di Sungai Gong, Gombak bakal diatasi dengan pembangunan projek kolam takungan banjir di Rawang Integrated, melibatkan kos RM500,000.
Membentangkan Belanjawan 2025, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek dilaksana Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor.
Amirudin menambah fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini menjejaskan benteng di kawasan pesisiran pantai, terutama di Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
Justeru, Kerajaan Negeri memperuntuk RM4 juta tahun depan bagi pelaksanaan projek naik taraf benteng pantai di kawasan terjejas akibat fenomena air pasang besar itu.
Pada 5 November lalu, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyerahkan bantuan wang tunai kepada tujuh keluarga di sekitar Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, yang terkesan bencana ribut dan banjir pada Julai. – SelangorKini