SelangorToday

BAKRI SAWIR,CALON HARAPAN DUN KLAWANG MAHU MENERUSKAN PROJEK ALA (R&R) DI TEMBUN

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir mahu meneruskan beberapa perancangan yang tergendala di DUN berkenaan sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Bakri berkata, salah satunya adalah projek ala hentian dan rawat (R&R) di Tembun di sini yang pembinaannya sepatutnya bermula sebaik PH menjadi Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tetapi tergendala kerana pertukaran kerajaan.

Menurutnya, R&R itu nanti akan dilengkapkan dengan kemudahan asas seperti surau, kedai makan dan tandas.

“Selain itu, kita akan memastikan projek jajaran jalan baharu dari Kampung Gagu, Jelebu ke Ulu Beranang, Seremban akan disiapkan pada 2025.

“Kita juga akan memajukan padang ragut di Kampung Renal melibatkan keluasan 72 hektar yang kini sudah mula diusahakan oleh beberapa pengusaha,”

Bakri yang juga bekas Exco Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Sembilan, berkata, dalam masa sama mahu memperbanyakkan lagi tanaman rumput napier.

“Usaha itu nanti akan melibatkan dalam kalangan penduduk tempatan dan ia akan diperluaskan dengan bantuan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Bakri berkata, telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) melakukan turapan semula di Jalan Bukit Tangga menuju ke Kuala Klawang.

” Ia berikutan laluan itu sering berlaku kemalangan selepas didapati permukaan jalan itu tidak lagi berfungsi dengan baik, terutama ketika jalan licin.

“Dalam tempoh tertentu, sesebuah jalan raya perlu dilakukan turapan semula berikutan tayar tidak dapat mencengkam dengan baik kerana permukaan jalan sudah licin,” katanya.

Exit mobile version