KUALA LUMPUR, 27 Okt – Ahli Parlimen Hulu Langat, Sany Hamzan hari ini membidas tindakan pembangkang yang menuduh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan ‘serbuan’ di Masjid Rusila, Marang, dengan menyifatkannya sebagai cubaan murahan Perikatan Nasional (PN) menutup pergolakan dalaman mereka sendiri.
Menurut Sany, tuduhan terhadap APMM itu jelas menunjukkan bahawa PN semakin ketandusan isu dan kini menjadikan agensi kerajaan pula sebagai sasaran serangan politik.
“Kalau nak serang, jangan serang jabatan atau agensi kerajaan. Kalau nak hentam, hentam kami — Pakatan Harapan, kerajaan Madani, kerajaan perpaduan ini,” tegas beliau semasa berucap di Dewan Rakyat sebentar tadi.
Beliau berkata, rakyat kini dapat melihat bagaimana PN, khususnya PAS, semakin agresif memainkan sentimen agama dan perkauman apabila tidak lagi mempunyai isu kukuh untuk diketengahkan.
“Perikatan Nasional, khususnya PAS, sekarang ini bukan sahaja nak bergaduh dengan kerajaan, malah dengan pegawai dan kementerian pun mereka nak bermusuh. Sebenarnya mereka nak alih perhatian daripada isu besar — perpecahan yang sedang berlaku dalam PN sendiri,” ujarnya.

Sany turut menempelak kenyataan Ahli Parlimen Pendang yang mendakwa wujud konspirasi untuk membunuh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dengan menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan biadab.
“Adakah beliau sudah tidak bersetuju dengan Tuan Guru Haji Hadi sebagai presiden PAS? Adakah beliau mahu melantik orang lain untuk menerajui parti itu? Ini kenyataan yang sangat bahaya, apatah lagi dibuat dalam Dewan yang mulia,” katanya.
Menurut Sany, insiden yang didakwa sebagai “serbuan” itu hanyalah sebahagian daripada latihan penguatkuasaan rutin APMM, namun PN cuba memanipulasinya demi kepentingan politik sempit.
Beliau menyeru rakyat supaya tidak terpedaya dengan permainan fitnah pembangkang yang cuba membangkitkan emosi dan sentimen agama bagi menutup kelemahan serta konflik dalaman mereka sendiri.
“Rakyat boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar membina dan siapa yang hanya pandai menabur fitnah untuk kekal relevan,” tambah beliau.