[DN Selangor] – Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mariam Abdul Rashid menegaskan isu banjir kilat tidak akan dapat diselesaikan selagi masalah longkang tersumbat tidak ditangani secara menyeluruh.
Menurut beliau, keadaan longkang yang berpasir dan berlumpur dipercayai berpunca daripada aktiviti pembangunan di kawasan bandar seperti Setia Alam.
“Sisa pembangunan ini akan mengalir masuk ke dalam sistem saliran setiap kali hujan, menyebabkan longkang menjadi cetek dan gagal mengalirkan air dengan pantas.
“Apabila lumpur ini masuk ke parit awam, kos pembersihan terpaksa ditanggung kerajaan menggunakan duit rakyat, sedangkan punca masalah datangnya daripada kecuaian pihak tertentu,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja sempena pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor berkata, keadaan itu menuntut tindakan lebih tegas daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), khususnya dalam memperketatkan syarat kelulusan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) bagi setiap pemaju.
Tegasnya, tiada lagi kompromi wajar diberikan kepada pemaju yang mengabaikan tanggungjawab menjaga kolam perangkap lodak di tapak projek mereka.
Dalam pada itu, Mariam turut menyentuh keperluan memperkukuh sistem pengangkutan awam bagi menarik lebih ramai rakyat beralih daripada penggunaan kenderaan persendirian.
Katanya, kunci utama bukan sekadar kemudahan fizikal, tetapi melibatkan aspek ketersambungan (connectivity) dan kebolehpercayaan (reliability).
Beliau berpandangan projek Demand-Responsive Transit (DRT) merupakan alternatif berkesan untuk menangani isu ‘first-last mile’, iaitu penyambung antara kawasan kediaman dan stesen utama.
“Bagi memastikan kelestarian jangka panjang, DRT perlu segera beralih daripada fasa rintis kepada pelaksanaan yang lebih meluas dengan mengambil kira tambang rahmah, fleksibiliti laluan serta sokongan teknologi digital seperti sistem pembayaran bersepadu dan penjadualan berasaskan data masa nyata,” katanya.
Tambahnya, pendekatan tersebut diyakini mampu meningkatkan kebolehpercayaan sistem pengangkutan awam sekali gus merangsang pertambahan jumlah penumpang.

