
Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran Parlimen Shah Alam dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga yang dijadualkan berlangsung pada Ahad, 13 April 2025, telah dibatalkan susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan dalam kawasan Parlimen berkenaan.
Dalam satu kenyataan bersama, Ahli Parlimen Shah Alam, YB Azli Bin Yusof dan Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, YB Danial Al Rashid memaklumkan bahawa keputusan tersebut diambil bagi memberi keutamaan kepada usaha bantuan dan pemulihan pasca banjir.

“Kami dukacita memaklumkan bahawa majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan dan keprihatinan terhadap mangsa banjir yang terkesan,” menurut kenyataan itu.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Padang Jawa, Taman Rashna, Seksyen 23, Kampung Kebun Bunga dan Kampung Kuantan. Setakat ini, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan mangsa banjir iaitu di SK Seksyen 16, SMK Seksyen 16 dan SRA Padang Jawa.
Selain itu, pihak penganjur turut memaklumkan bahawa peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk persiapan dan perbelanjaan majlis akan disalurkan dalam bentuk bantuan makanan, keperluan pembersihan dan sokongan pasca banjir bagi meringankan beban penduduk yang terkesan.

“Semoga usaha ini mencerminkan keprihatinan kami terhadap rakyat yang sedang menghadapi kesusahan. Kami mohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada pembatalan ini,” ujar kenyataan itu lagi.
Kedua-dua wakil rakyat itu turut menzahirkan harapan agar keadaan cuaca akan kembali pulih dan mangsa yang terlibat diberi kekuatan dalam menghadapi dugaan tersebut.