Cuti semua anggota Jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan kini dibekukan.
Ia susulan bencana banjir di seluruh negara yang semakin memburuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mereka kini diarahkan dengan segera untuk turun padang bagi membantu penduduk yang terkesan banjir.
“Semua menteri kabinet minta teruskan tugas sekarang. Turun.
“Ya cuti dibekukan. Terus, terus (turun padang),” katanya.
Beliau menjawab ringkas ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Pudina, Presint 17, Putrajaya.
Setakat pukul 3.00 petang tadi, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir kini mencecah seramai 87,043 orang daripada 26,756 keluarga di lapan negeri. -Berita RTM