Site icon SelangorToday

BANJIR | PUSAT PEMINDAHAN MANGSA BANJIR HULU SELANGOR DITUTUP

banjircover

Kesemua 24 mangsa daripada enam keluarga terjejas banjir di Hulu Selangor ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kerling malam tadi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing petang tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Hulu Selangor Mohamad Hanafe Basri berkata kebenaran itu selepas mendapat nasihat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengambil kira situasi semasa di penempatan penduduk yang semakin beransur pulih.

“PPS berkenaan ditutup 5 petang tadi dan semua mangsa sudah kembali ke rumah masing-masing. Banjir semalam hanya beberapa jam manakala air surut kira-kira 7 malam. Alhamdulillah, cuaca sepanjang hari ini juga baik,” katanya ketika dihubungi Selangorkini.

Beliau yang juga pegawai daerah Hulu Selangor berkata kerja pembersihan rumah mangsa giat dijalankan oleh sukarelawan Team Selangor, Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Hujan lebat lebih tiga jam di beberapa daerah di negeri ini bermula 12 tengah hari semalam menyebabkan banjir kilat di Hulu Selangor. Antara kawasan terkesan ialah Kerling, Kampung Kelapa, depan persimpangan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kuala Kubu Bharu serta perumahan Taman Serendah Makmur.

Exit mobile version