Bantahan penduduk Bukit Jelutong terhadap perancangan pembangunan di kawasan rekreasi Bukit Jelutong dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam di Dewan Rakyat Rabu lalu. Hj Azli Yusof membangkitkan bantahan tersebut ketika membahaskan Belanjawan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi tahun 2024 diperingkat jawatankuasa. Kata beliau, aspek pembangunan dan kemajuan fiizikal tidak boleh mengenepikan aspek kesejahteraan dan rekreasi keluarga. Tambanya, kawasan yang hendak dibangunkan di Bukit Jelutong untuk dijadikan kawasan kediaman itu merupakan kawasan lapang yang dijadikan tempat rekreasi atau riadah bagi penduduk setempat yang pastinya memberikan impak positif kepada kesejahteraan keluarga. Maka sewajarnya rancangan untuk membangunkan kawasan tersebut harus dikaji semula.
Sebelum itu Timbalan Pengerusi AMANAH Selangor itu menyentuh tentang pembinaan pusat fertiliti di Shah Alam. Beliau mengalu-alukan cadangan pembinaan pusat tersebut yang memakan belanja RM 171 juta serta dijangka mula beroperasi pada tahun 2030. Disamping itu, Hj Azli juga turut membangkitkan kebimbangan beliau dalam perihal kanak-kanak bantut di Malaysia. 6.8% daripada remaja Malaysia mengalami masalah bantut yang bukan sahaja dipengaruhi oleh pemakanan malah juga terkait dengan gaya kehidupan. Apakah perancangan KPWKM dalam menangani masalah bantut ini? Beliau juga mahu mengetahui apakah hala tuju kerajaan dalam menguruskan aspek baru dalam kekeluargaan iaitu Ekonomi Penjagaan memandangkan Malaysia akan menuju negara menua kelak.
Ketua AMANAH Kawasan Shah Alam itu mengaitkan kesemua yang dibangkitkan iaitu kanak-kanak, warga emas dan keluarga itu dengan pelaksanaan pembangunan kawasan riadah penduduk di Bukit Jelutong. Malah pembangunan yang dicadangkan akan memberi kesan buruk kepada kelestarian alam. Maka Hj Azli mahu KPWKM mempertimbangkan kaedah yang sesuai dengan agensi mahupun kementerian lain agar aspek pembangunan fizikal tidak mengganggu teras pembangunan keluarga yang sejahtera. – SelangorToday