
Kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM15 juta kepada pesawah di seluruh negara sebagai persediaan menyambut Ramadan dan Aidilfitri tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tersebut adalah sebahagian peruntukan tambahan RM30 juta yang disalurkan oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi membantu pesawah miskin di negara ini.
“Saya minta Tan Sri Syed Mokhtar bantu pesawah kerana Bernas memperoleh keuntungan daripada mereka.
‘Beliau bersetuju menyumbang RM30 juta dan daripada jumlah itu, RM15 juta akan disalurkan segera kepada pesawah untuk persiapan Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim dalam Tempoh Dua Tahun di Kampung Pida 4, Ayer Hitam, di sini pada Khamis.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Anwar berkata lagi, pendekatan tersebut digunakan oleh kerajaan pada hari ini membantu terus golongan di bawah menerusi sumbangan tokoh Korporat.
Menurutya, beliau boleh sahaja meminta bantuan korporat untuk PKR, seperti yang pernah diamalkan oleh parti-parti tertentu sebelum ini, namun memilih untuk membela pesawah.
“Ini cara kita. Kita tidak gunakan wang korporat untuk politik, tetapi untuk rakyat, khususnya pesawah yang bergantung kepada sektor ini untuk meneruskan kehidupan,” ujarnya.
Pada 13 Februari lalu, media melaporkan Anwar mengumumkan bahawa Syed Mokhtar melalui Bernas bersetuju menyalurkan RM30 juta sebagai tambahan kepada usaha kerajaan dalam membantu golongan pesawah yang kurang berkemampuan. -Sinar Harian