Seramai 31,585 keluarga terjejas banjir bulan lalu menerima bantuan Kerajaan Negeri berjumlah RM1,000 setakat 10 pagi tadi.Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM31.705 juta dibelanjakan untuk sumbangan melalui Bantuan Selangor Bangkit (BSB).
Menurut infografik dikongsi beliau di Facebook, seramai 12 waris korban bencana di Klang, Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat turut menerima bantuan masing-masing RM10,000. Daerah Petaling paling ramai menerima sumbangan membabitkan 9,837 isi rumah diikuti 7,376 orang di Klang, manakala 6,457 penduduk Hulu Langat.
Turut menerima sumbangan sama ialah 3,600 isi rumah di Sepang, Kuala Langat (1,890), Kuala Selangor (1,548), Gombak (750), Hulu Selangor (92) dan Sabak Bernam (35). Selain pemulihan prasarana, peruntukan itu meliputi bantuan RM10,000 kepada waris korban banjir dan RM1,000 kepada ketua isi rumah bagi membaik pulih semula kediaman. Bantuan diagih mulai 28 Disember dan dijangka selesai hujung bulan ini.