Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Lokman Noor Adam menempelak sikap gopoh Ketua Pemuda BERSATU, Wah Ahmad Fayhsal mengenai kenyataannya terkait kelulusan pindaan perlembagaan BERSATU oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia(ROS). Jelas Lokman, banyak perkara yang Ahli Parlimen Machang ini tidak faham dan gopoh mengeluarkan kenyataan. Sebelum itu Wan Ahmad Fayhsal melalui ciapan di aplikasi X menyatakan keenam-enam kerusi Parlimen kosong dan Piliha Raya Kecil bakal diadakan akibat tindakan enam ahli parlimen BERSATU tersebut menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri. Namun Lokman menyatakan kenyataan tersebut tidak bersandarkan kepada faktor-faktor tertentu yang menjadikan kerusi tersebut kosong.
Ketua Sekretariat Media Perpaduan itu menjelaskan, Perlembagaaan BERSATU yang dipinda masih termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan. Dimana Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara. Meskipun dalam pindaan Perlembagaan BERSATU menyatakan ahli yang ingkar kepada keputusan parti secara langsung keahliannya digugurkan, namun Akta Anti-Lompat Parti yang diluluskan sebelum PRU 2022 itu akan menjadi penentu. Dalam akta tersebut, Lokman menjelaskan hanya melompat ke parti yang lain sahaja akan menyebabkan sesuatu kerusi itu akan menjadi kosong. Maka tafsiran sama ada pindaan Perlembagaan BERSATU mempengaruhi keenam-enam kerusi tersebut boleh ditentukan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat kelak.
Pindaan Perlembagaan BERSATU diluluskan melalui Perhimpunan Agong Khas yang diadakan pada 2 Mac 2024. Pindaan tersebut berkuatkuasa 1 April 2024 setelah diluluskan oleh ROS semalam. Ditanya sama ada BERSATU akan memecat enam ahli parlimen tersebut, Lokman berkata langkah tersebut merupakan satu tindakan tidak bijak daripada BERSATU. Mengambil contoh kecerdikan UMNO, jelas beberapa ahli parlimen BN mesra kepada PN namun tidak dipecat oleh UMNO sebaliknya digantung sahaja bagi memastikan mereka sentiasa terikat dengan Kerajaan Perpaduan. – SelangorToday