Bas Smart Selangor memulakan perkhidmatannya di beberapa lokasi utama bagi membantu meringankan beban pengguna berikutan gangguan sistem perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.
Dato’ Menteri Besar berkata ia selaras dengan pengumuman Kerajaan Negeri semalam yang menyediakan 20 bas bagi menampung keperluan orang ramai selepas operasi 16 stesen ditutup.
“Selaras dengan pengumuman semalam di mana Kerajaan Negeri Selangor menyediakan 20 buah bas utk membantu meringankan beban pengguna LRT, pagi ini telah memulakan perkhidmatan di beberapa buah lokasi utama,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.
Semalam, beliau menjelaskan perkhidmatan tambahan itu diselaras dengan bas perantara disediakan RapidKL bagi mengelak gangguan jadual.
Sebelum ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) memaklumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari mulai semalam susulan sistem kawalan tren automatik yang tidak stabil.
Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya akan beroperasi hanya dari Stesen Gombak ke Stesen Damai serta dari Stesen Lembah Subang ke Stesen Putra Heights.